Kajang AZS kendurikan Gombak Hypernova, NPNG FC sah juara kumpulan B, Axis O2 pamer aksi juara serta AMBK seri tanpa jaringan menentang Puchong Fuerza.

Gombak Hypernova FC 1-7 Kajang AZS FC

Lapan jaringan terhasil pada aksi pertama minggu ke-8 selepas Kajang AZS berpesta jaringan menewaskan Gombak Hypernova FT 7-1.

Kajang AZS membuktikan kejaguhan mereka di babak pertama setelah berjaya mendahului 6-0 menerusi hatrik dihasilkan Mohamed Addurazzag Almabrouk Alkanouni dan Phillip Abbah Eugine.

Addurazzag membuka tirai jaringan seawal minit pertama berikutan kesilapan hantaran pertahanan Gombak Hypernova FT yang dirampas Phillip Abbah.

Phillip kemudiannya melepaskan rembatan yang dihalang penjaga gol Hypernova, Aidil Iskandar sebelum Addurazzag melepaskan percubaan susulan untuk gol pertama perlawanan.

Pemain yang dikenali dengan panggilan Mido itu melebarkan kedudukan dengan rembatan luar kawasan penalti yang dihalang Aidil, namun bola tersebut melantun untuk menerjah gawang Hypernova FT berselang dua minit kemudian.

Belum sempat Gombak Hypernova FT memperkemaskan aksi mereka pada minit ke-8, giliran Mido pula melakukan hantaran hasil gerakan solo dalam kawasan penalti buat Phillip Abbah untuk mudah menolak masuk bagi gol ketiga.

Mido terus cemerlang apabila berjaya melengkapkan hatrik peribadinya pada minit ke-9 dengan mudah menewaskan Aidil Iskandar.

Gandingan Phillip Abbah dan Addurazzag ternyata begitu berkesan pada perlawanan ini apabila kombinasi menarik mereka terus menghasilkan jaringan keempat pada minit ke-13.

Hasil gerakan yang diilhamkan Addurazzag yang seterusnya mencari Phillip, tidak dipersiakan penyerang tinggi lampai itu.

Melihat rakan sepasukannya mencipta hatrik, Phillip Abbah juga tidak mahu ketinggalan untuk berbuat demikian dan hatrik beliau terhasil pada minit ke-31 susulan hantaran cantik dari jarah jauh yang dilakukan kapten, Faizal Rahman, disudahkan dengan baik oleh penyerang kelahiran Nigeria itu.

Memasuki babak kedua, Gombak Hypernova FT berusaha untuk kembali bersaing walaupun sudah ketinggalan begitu jauh.

Usaha mereka membuahkan hasil seminit selepas perlawanan bersambung setelah gerakan yang dimulakan Eddy Chandra Montir memberikan peluang buat Nik Mohd Syukri Nik Wil menghasilkan gol saguhati.

Jaringan yang jelas meningkatkan moral para pemain namun tidak mampu buat Hypernova FT menggandakan jaringan.

Ketika permainan semakin menghampiri penghujung, Phillip Abbah menutup pesta jaringan dengan gol keempat peribadi bagi mengesahkan kemenangan 7-1 buat Kajang AZS.

NPNG FC Damansara Damai 2-1 Klang Valley United

 

NPNG FC Damansara Damai mengesahkan kedudukan di tempat pertama saingan kumpulan B Selangor Champions League 2018 selepas berjaya menundukkan Klang Valley United (KVU) 2-1.

Sudah mengesahkan slot ke peringkat suku akhir, NPNG FC Damansara Damai jelas tidak memberikan tugasan yang mudah buat Klang Valley United pada perlawanan ini walaupun merehatkan beberapa pemain utama mereka.

Ia terbukti apabila pemain sayap muda, Muhd Haiqal Johari membuka tirai jaringan pada minit ke-8 selepas menerima hantaran lintang daripada Ravindran Krishnan di kanan pintu gol KVU.

Kawalan permainan yang kemas serta lebih menghadirkan ancaman ketika melakukan serangan, NPNG FC menambah jaringan kedua pada minit ke-20 menerusi ketua pasukan, Raffi Mansor.

Klang Valley United berjaya merapatkan kedudukan selepas empat minit perlawanan bersambung berikutan kesilapan pertahanan NPNG FC yang cuba mengeluarkan bola dari kawasan bahaya  yang terbias mengenai Syed Muhammad Nabil Syed Saleh lalu bola membolosi gawang yang dikawal Ilyaf Sani.

Usaha kedua-dua pasukan selepas itu gagal menghadirkan hasil yang diharapkan untuk keputusan 2-1 kekal hingga tamat permainan bagi menghadiahkan 3 mata penuh buat NPNG FC Damansara Damai.

Dengan kemenangan ini menyaksikan NPNG FC menamatkan peringkat kumpulan dengan enam kemenangan dan dua keputusan seri bagi mengumpul 20 mata.

Axis O2 PJ FC 2-0 Klang Southern FC

Axis-O2 PJ FC merakamkan kemenangan pada aksi terakhir mereka dalam peringkat kumpulan A selepas berjaya menundukkan Klang Southern FC 2-0.

Kedua-dua pasukan yang mengintai peluang untuk melayakkan diri ke peringkat suku akhir mempamerkan corak permainan bertenaga sejak awal perlawanan.

Klang Southern FC yang diperkuatkan dengan kehadiran Saiful Aula dan Carlos Goonting bermula dengan baik apabila melancarkan dua serangan berbahaya ke kubu Axis-O2 PJ FC.

Penjaga gol, Mohd Noor Azrin Adnan bagaimanapun pantas menghalang percubaan tersebut dari membolosi gawang yang dikawalnya.

Kedua-dua pasukan yang mengintai peluang untuk melayakkan diri ke peringkat suku akhir mempamerkan corak permainan bertenaga sejak awal perlawanan.

 

Klang Southern FC yang diperkuatkan dengan kehadiran Saiful Aula dan Carlos Goonting bermula dengan baik apabila melancarkan dua serangan berbahaya ke kubu Axis-O2 PJ FC.

Penjaga gol, Mohd Noor Azrin Adnan bagaimanapun pantas menghalang percubaan tersebut dari membolosi gawang yang dikawalnya.

Kesilapan penjaga gol Klang Southern FC, Goh Meng Jie yang melakukan sepakan lemah memberikan peluang buat Adli Zulgafli untuk melakukan hantaran terus kepada Desmond.

Desmond yang bijak menghidu peluang ketika melihat Meng Jie sudah keluar dari kawasannya, melakukan percubaan lambung yang memberikan jaringan kedua peribadi buat penyerang dari Nigeria itu pada minit ke-29.

Aksi menarik diteruskan pada babak kedua dengan Axis-O2 dan Klang Southern saling berbalas serangan.

Antara peluang terbaik yang dimiliki Klang Southern adalah tandukan Uche George yang terkena palang selepas menerima lontaran ke dalam yang cukup padu dihasilkan Carlos Goonting.

Satu lagi peluang keemasan adalah menerusi sepakan percuma yang diledakkan Saiful Aula yang memaksa Noor Azrin berhempas-pulas menafikan percubaan tersebut pada minit ke-64.

Percubaan yang dimiliki Axis-O2 juga gagal menggandakan kedudukan untuk dua jaringan yang dihasilkan Desmond Amadi pada babak pertama itu memisahkan kedua-dua pasukan hingga tamat perlawanan sekaligus membawa juara bertahan itu ke peringkat suku akhir.

 

ABMK 0-0 Puchong Fuerza

Jangkaan satu perlawanan mendebarkan bakal berlangsung di antara Akademi Bolasepak Merah Kuning (ABMK) dan Puchong Fuerza meleset selepas perlawanan sekadar berakhir tanpa jaringan.

Pertembungan dua pasukan yang berada di kelompok teratas saingan kumpulan A ini begitu mendebarkan dengan gerakan-gerakan menarik berjaya dicipta.

Puchong Fuerza terlepas dua peluang terbaik terutamanya pada minit ke-21 setelah Afiq Azmi yang berjaya mengatasi pertahanan hanya berhadapan dengan penjaga gol lawan hanya melakukan percubaan lambung yang melewati palang gol.

Sebelum itu, Syahirul Rodi dikecewakan pertahanan ABMK yang lebih pantas mengeluarkan bola dari kawasan bahaya susulan percubaan yang dilakukannya sudah pun berjaya menewaskan penjaga gol.

Aksi yang pada mulanya menarik untuk ditonton bertukar menjadi hambar selepas kedua-dua pasukan gagal mengekalkan momentum aksi pantas yang dipamerkan.

Walaupun Puchong Fuerza kelihatan lebih menguasai aksi di babak kedua serta turut mempunyai beberapa serangan ke arah gawang ABMK, namun tiada percubaan yang terlalu berbahaya dapat dicipta.

Situasi bola yang sering berlegar-legar tanpa sebarang idea kreatif dan penyudah berkesan menghiasi aksi sehingga tamat perlawanan untuk kedua-dua pasukan berpuas hati sekadar berkongsi satu mata.

Leave a Reply