NPNG belasah CABJ, Kajang AZS kekalkan rentak kemenangan, Puchong Fuerza leburkan rekod tanpa kalah Southern dan Axis O2 kendurikan Banting Naga

NPNG FC Damansara Damai FC 4-0 CABJ

Empat jaringan yang dihasilkan pada separuh masa pertama memberikan kemenangan selesa 4-0 buat NPNG FC Damansara Damai keatas Club Atletico De Bukit Jelutong (CABJ) sekaligus menyaksikan NPNG FC mengekalkan rekod tanpa kalah mereka.

Jaringan pembukaan NPNG FC terhasil pada minit kedua selepas Muhammad Ridhwan Johan yang tidak dikawal dalam kawasan penalti, dengan mudah menolak masuk bola hasil umpanan ke belakang daripada Low Chun Keong.

Ridhwan sekali lagi menemui sentuhan jaringan bagi melebarkan kedudukan pada minit ke-17 setelah beliau yang menerima hantaran jauh daripada Sivachandran Gunasekaran terus menanduk masuk bola untuk menewaskan penjaga gol CABJ, Amirul Haziq Amran.

Tidak cukup dengan dua jaringan tersebut, NPNG FC Damansara Damai semakin garang memburu jaringan apabila berjaya menambah dua lagi jaringan dalam tempoh masa enam minit.

Mohd Shoufiq Mohamad Kusaini menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-17 menerusi tandukan dan berselang empat minit kemudian, beliau bertindak cemerlang melorongkan bola buat Muhd Haiqal Johari untuk gol keempat buat NPNG Damansara Damai.

CABJ cuba untuk bangkit memadamkan kelebihan empat gol dengan dua percubaan kearah gawang NPNG FC, namun penyudah tumpul menggagalkan usaha mereka untuk aksi di babak pertama berakhir dengan kedudukan 4-0.

Pujian harus diberikan buat CABJ apabila mereka berjaya menghalang NPNG FC dari menambah lebih banyak jaringan pada separuh masa kedua.

Satu-satunya peluang terbaik dimiliki CABJ selepas perlawanan bersambung menjelma pada minit ke-53 selepas tandukan yang dilakukan Ahmed Khamis Barakat berjaya dinafikan dengan cemerlang oleh penjaga gol lawan, Mohd Zaidi Razlee.

Empat jaringan yang terhasil pada babak pertama itu kekal hingga tamat permainan untuk menghadiahkan kemenangan keempat buat NPNG FC Damansara Damai dalam saingan Selangor Champions League untuk menghuni tangga teratas kumpulan B dengan mengumpul 14 mata.

Klang Valley United 0-2 Kajang AZS

Kajang AZS FC berjaya meraih kemenangan ketiga mereka dalam saingan Selangor Champions League 2018 selepas berjaya menundukkan Klang Valley United (KVU) 3-0.

Klang Valley United yang lebih mengawal permainan di babak pertama seringkali dikecewakan kekentalan jentera pertahanan Kajang AZS FC yang dikemudi Shaifuddin Ismail dan Faiz Mohtar.

Di sebalik penguasaan tersebut, pemain import Kajang AZS, Mohamed Addurazzag Alkanouni berjaya menghasilkan jaringan pada minit ke-16 menerusi gerakan solo dalam kawasan penalti yang terus menewaskan Mitchell Gilbert di gawang KVU

Memasuki babak kedua, giliran Kajang AZS FC pula memberikan tekanan buat barisan pertahanan KVU dengan gerakan-gerakan menarik yang dicipta Mido dan penyerang utama, Phillip Abbah Eugine.

Phillip Abbah yang menerima hantaran cantik dari rakan sepasukannya mensia-siakan peluang terbaik selepas beliau yang hanya berhadapan Gilbert melakukan percubaan tersasar di kanan pintu gol KVU.

Ketika aksi kemudiannya sekadar berlegar-legar di tengah padang tanpa sebarang serangan berbahaya yang dicipta kedua-dua pasukan, Addurazzag Alkanouni menambah jaringan kedua pada masa kecederaan untuk mengesahkan kemenangan 2-0 buat Kajang AZS FC sekaligus meletakkan mereka di tangga ketiga kumpulan B buat seketika.s menewaskan Mitchell Gilbert di gawang KVU.

Klang Southern FC 0-2 Puchong Fuerza FC

Puchong Fuerza mengekalkan momentum kemenangan selepas berjaya menundukkan Klang Southern FC 2-0 dalam saingan kumpulan A sekaligus meleburkan rekod tanpa kalah Klang Southern FC.

Klang Southern FC bermula baik pada 10 minit awal dengan menampilkan corak permainan kemas serta menguji gawang Puchong Fuerza FC yang dikawal Gabriel Alloysius.

Bagaimanapun, Gabriel lebih tangkas menafikan percubaan sepakan percuma daripada Jeremy Matthew Danker pada minit ke-7.

Puchong Fuerza FC kembali memperkemaskan aksi mereka dengan melancarkan serangan pantas terutamanya menerusi pemain sayap kanan lincah, Haikal Mat Radzi.

Pada minit ke-26, Haikal yang mendapat hantaran cantik daripada Hakim Zainal, melakukan sepakan lambung yang berjaya dihalang penjaga gol Klang Southern FC, Alif Daniel.

Ketika perlawanan di separuh masa pertama seperti akan berkesudahan dengan tanpa jaringan, Haikal menceriakan kem Puchong Fuerza selepas beliau berjaya menguis tandukan Al Amin Abdullah untuk membuka tirai jaringan.

Pengendali Klang Southern FC, Gan Chee Lim terpaksa membuat pertukaran taktikal pada babak kedua apabila meletakkan pemain pertahanan kental, Uche George di bahagian serangan untuk memburu jaringan penyamaan.

Dalam pada itu, Puchong Fuerza FC semakin bernafsu untuk melebarkan kedudukan dengan melancarkan serangan bertali arus ke kubu Klang Southern FC.

Usaha berterusan Puchong Fuerza FC akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-66 apabila Hakim Zainal yang meluru pantas ke dalam kawasan penalti melepaskan rembatan yang menjadikan kedudukan 2-0.

Kemenangan ini memberikan makna yang cukup besar buat Puchong Fuerza setelah mereka berjaya meleburkan rekod tanpa kalah Klang Southern FC selepas lima perlawanan.

Skuad bimbingan Nazrulerwan Makmor itu juga cemerlang meraih kemenangan ketiga berturut-turut untuk meraih 9 mata, satu mata dihadapan Klang Southern FC.

Axis O2 PJ FC 5-0 Banting Naga FC

Axis-O2 PJ FC berpesta jaringan selepas menumpaskan Banting Naga FC 5-0 dalam saingan kumpulan A Selangor Champions League 2018.

Axis-O2 PJ FC yang merupakan juara bertahan hanya memerlukan seminit sahaja untuk membuka jaringan selepas penyerang sensasi, Desmond Amadi Apaoma merembat masuk bola hasil hantaran menerusi tandukan oleh Muhammad Farhan Khairul Anuar.

Muhammad Adli Zulgafli menambah tekanan buat Banting Naga FC dengan jaringan kedua pada minit ke-12 selepas beliau dengan tenang menyempurnakan peluang setelah mendapat umpanan cantik dari Desmond.

Berselang tujuh minit kemudian, Adli sekali lagi meletakkan nama selaku penjaring ketiga apabila beliau menerima hantaran lambung cantik dari pertahanan, melakukan percubaan susulan selepas rembatan awalnya terlebih dahulu ditepis penjaga gol Banting Naga FC, Okebaram Promise.

Desmond menambah jaringan kedua peribadi berselang dua minit selepas perlawanan kembali bersambung setelah sepakan percuma leret yang diambil Lucky Ogu berjaya disudahkan dengan kemas oleh pemain kelahiran Nigeria itu.

Sama seperti yang berlaku pada tiga perlawanan sebelum ini melibatkan Axis-O2 PJ FC, Desmond jelas memainkan peranan sangat penting buat pasukan.

Ia dibuktikan apabila Desmond membuka ruang dengan melakukan hantaran lambung cantik buat Farhan Khairul Anuar yang tidak mensia-siakan peluang menjaringkan gol kelima pada minit ke-57.

Kejayaan menewaskan Banting Naga FC ini merupakan kemenangan ketiga berturut-turut buat Axis-O2 FC untuk memperoleh 10 mata.

 

Leave a Reply