Jaringan Parjo tewaskan Cheras Raptors, Gombak Hypernova dan Subang City terikat serta AMBK tundukkan Paya Jaras Hiliran FC 2-0.

Cheras Raptors FC 0-1 KRU Port Klang FC

Jaringan tunggal dari Rosedy Muslim atau lebih mesra disapa Parjo berjaya menghadiahkan kemenangan 1-0 buat KRU Port Klang keatas Cheras Raptors.

Beraksi di bawah terik matahari pada awal permainan tidak berupaya menghalang KRU Port Klang FC bagi membuka tirai jaringan seawal minit ke-4 perlawanan.

Gol pendahuluan tersebut dihasilkan pemain veteran, Rosedy Muslim yang mendapat umpanan tandukan daripada Samsul Siddi berpunca dari sepakan percuma dan seterusnya menewaskan penjaga gol Cheras Raptors, Mohd Syamil Baharudin.

Namun, selepas jaringan yang dihasilkan penyerang berusia 38 tahun itu, tiada serangan menarik yang dapat disaksikan apabila gerakan-gerakan yang dicipta berjaya dipatahkan jentera pertahanan masing-masing.

Ketiadaan ketua pasukan, Amares Singh yang menerima kad merah pada perlawanan lalu dilihat menjejaskan rentak permainan Cheras Raptors.

Masuk babak kedua, KRU Port Klang berjaya memperoleh peluang untuk menggandakan jaringan selepas diberikan sepakan penalti pada minit ke-58

Namun, Rosedy mensia-sia peluang keemasan yang dimiliki selepas sepakan penalti yang diambil pemain penyerang itu tersasar ke sebelah kanan gawang Cheras Raptors.

Jaringan tunggal pada awal permainan oleh Rosedy itu memberikan kemenangan ketiga buat KRU Port Klang FC untuk menduduki tangga kedua kumpulan B dengan 11 mata.

Manakala, Cheras Raptors pula mengumpul enam mata selepas mencatatkan satu kemenangan, tiga seri dan satu kekalahan.

Gombak Hypernova FC 1-1 Subang City FC

Jaringan pada masa kecederaan dihasilkan Nik Mohd Syukri mengecewakan Subang City FC yang terikat 1-1 bertemu Gombak Hypernova FT dalam saingan kumpulan A Selangor Champions League 2018.

Asyiff Zulkefli pantas meletakkan Subang City di hadapan seawal minit kedua berpunca dari kesilapan ketua pasukan Gombak Hypernova FT, Arih Amri Amron yang gagal mengawal bola dengan baik sekaligus berjaya dirampas Muhammad Syafiq Abdul Hamid.

Syafiq kemudiannya melorongkan bola buat Asyiff yang dengan tenang melepaskan rembatan dari jarak dekat untuk membuka tirai jaringan.

Corak permainan menghiburkan diperaga kedua-dua pasukan selepas itu dengan serangan yang mengancam dilancarkan ke kubu lawan masing-masing.

Gombak Hypernova FT terus memperkemaskan aksi pada babak kedua dengan melancarkan serangan-serangan berbahaya ke kubu Subang City. Namun, penyudah kurang berkesan nyata menghampakan mereka.

Subang City yang sesekali mengasak turut mengalami nasib yang sama dan gagal untuk menambah jaringan.

Ketika Gombak Hypernova dilihat bakal mengalami kekalahan kelima, Nik Mohd Syukri berjaya menyelamatkan kelab tersebut dengan jaringan yang dihasilkan pada masa kecederaan untuk memberikan mata pertama buat mereka.

 

ABMK 2-0 Paya Jaras Hiliran

Akademi Bolasepak Merah Kuning (ABMK) terus cemerlang memperoleh kemenangan selepas menewaskan Paya Jaras Hiliran (PJH FC) 2-0 setelah sekadar seri pada perlawanan minggu ke-4.

ABMK yang masih belum mengalami sebarang kekalahan selepas mengharungi lima perlawanan dilihat lebih menguasai perlawanan dengan serangan pelbagai variasi yang dilancarkan.

Skuad yang dibimbing bekas pemain kebangsaan, Asmawi Bakiri itu memerlukan 14 minit untuk membuka jaringan menerusi Muhammad Iqmal Hazim Muhamed Supian.

Berpunca daripada situasi sepakan percuma, pemain pertahanan berusia 16 tahun itu menyempurnakan peluang susulan rembatan awal yang diledakkan P.Surian terlebih dahulu ditepis penjaga gol PJH FC, Mohd Razif.

PJH FC juga cuba untuk memberikan ancaman, namun jentera pertahanan ABMK yang dikepalai Surian dan Iqmal Hazim mudah menangkis asakan tersebut.

Permainan di separuh masa kedua memperlihatkan dominasi ABMK yang berterusan memberikan tekanan buat PJH FC yang masih belum mengutip sebarang mata ketika ini.

Dengan corak permainan yang kemas dipamerkan ABMK belum cukup buat mereka untuk menambah jaringan selepas penyudah tumpul menghantui usaha tanpa henti mereka.

Sehinggalah pada minit ke-65, Muhammad Aidil Abd Aziz yang menerima lorongan dari Muhammad Nuriskandar Abdul Hamid, berjaya menggelecek dua pertahanan PJH FC dan seterusnya melepaskan rembatan lencong yang terus menerjah gawang.

Kemenangan 2-0 ini meletakkan ABMK menghuni tangga kedua selepas terikat dengan 10 mata bersama pendahulu, Axis-O2 PJ FC. Namun, ABMK masih kekurangan satu perlawanan berbanding juara bertahan itu.

 

Leave a Reply