Subang City FC menang besar, KRU dan NPNG terikat serta Klang Southern jinakkan Paya Jaras Hiliran

Subang City FC 4-0 Klang Valley United

Subang City FC akhirnya berjaya mencatatkan kemenangan pertama mereka dalam saingan Selangor Champions League 2018 selepas menundukkan Klang Valley United (KVU) 4-0.

Pemain tengah kreatif, Naven Devarajoo hampir membuka tirai jaringan apabila sepakan percuma yang diambil berjaya ditepis keluar penjaga gol KVU, Mitchell Gilbert untuk memberikan sepakan sudut buat Subang City FC.

Sepakan sudut diambil Naven pada minit ke-11 itu mencari Mohamad Azeddy Misra yang tidak dikawal untuk terus melakukan tandukan bagi jaringan pendahuluan buat Subang City FC.

Subang City FC yang menggunakan kesempatan kelincahan pemain sayap dimiliki berjaya menambah jaringan menerusi Muhammad Syafiq Abdul Hamid pada minit ke-24.

Dua jaringan yang dihasilkan masih belum cukup buat Subang City apabila mereka menambah jaringan ketiga di masa kecederaan separuh masa pertama.

Hantaran jauh dari tengah padang oleh Azeddy terus mencari Syafiq yang terus meluru pantas melepasi kawalan pertahanan untuk menyempurnakan peluang bagi menghadirkan gol ketiga perlawanan.

Memasuki babak kedua, Klang Valley United yang dibimbing Shazwan Wong cuba untuk bangkit memberikan saingan.

Penyerang import KVU, Aziz Akeem memiliki peluang terbaik bagaimanapun rembatan yang dilakukannya dari sebelah kiri pintu gol Subang City berjaya dinafikan palang gol pada minit ke-53.

Usaha KVU gagal menghadirkan jaringan yang diharapkan tetapi sebaliknya Subang City menambah jaringan keempat menerusi Naven pada lewat permainan untuk mengesahkan kemenangan 4-0.

Kru Port Klang FC 1-1 NPNG FC Damansara Damai

Pertembungan dua pasukan pilihan Selangor Champions League 2018, KRU Port Klang FC dan NPNG FC Damansara Damai berakhir dengan keputusan seri 1-1.

Hujan yang turun sebelum dan ketika perlawanan berlangsung jelas tidak merencatkan aksi kedua-dua pasukan bagi menyajikan corak permainan yang berkualiti.

NPNG FC Damansara Damai terlebih dahulu di hadapan pada minit ke-9 apabila Ridhwan Johan yang membuat percubaan susulan ekoran rembatan padu dari Lukhman Noor Hakim, berjaya menewaskan Sulaiman Ramlan di gawang KRU Port Klang FC.

Namun, kegembiraan NPNG FC hanya mampu bertahan seminit sahaja selepas Rosedy Muslim yang mendapat hantaran jauh dari rakan sepasukan, menanduk masuk bola untuk kembali menyamakan kedudukan.

Lukhman sekali lagi meledakkan rembatan dari luar kotak penalti, bagaimanapun kali ini Sulaiman Ramlan lebih bersedia untuk menangkap kemas percubaan voli tersebut.

Mamadou Barete berjaya menjaringkan gol pada minit ke-43 hasil kelam kabut di hadapan gol namun, pemain import kelahiran Republic of Guinea itu terlebih dahulu dikesan melakukan kekasaran.

NPNG FC jelas mendominasi aksi di babak kedua dengan penguasaan serta serangan yang dilancarkan.

Bagaimanapun pertahanan KRU Port Klang FC lebih kental bertahan menyerap asakan yang diberikan jentera serangan NPNG FC.

Penjaga gol, Sulaiman Ramlan juga memainkan peranan penting buat KRU Port Klang bagi meraih satu mata ini terutamanya keupayaan beliau menafikan rembatan padu dari pemain NPNG FC pada minit ke-70.

Kedudukan 1-1 tersebut kekal hingga tamat permainan untuk kedua-dua pasukan berpuas hati dengan satu mata.

Paya Jaras Hiliran FC 1-4 Klang Southern FC

Perlawanan terakhir minggu ke-4 SCL2018 menyaksikan Klang Southern FC mudah membelasah Paya Jaras Hiliran 4-1.

Namun Klang Southern terlebih dahulu ketinggalan selepas Ikhram Yahya berjaya menjaringkan satu jaringan sepakan percuma yang begitu cantik untuk menewaskan Alief Daniel pada minit ke-6 permainan.

Tersentak dengan jaringan awal itu, Klang Southern bangkit menggandakan serangan dah berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-20 melalui percubaan Shahrul Afif.

Berselang enam minit kemudian, Kizito pula meletakkan nama selaku penjaring apabila berjaya melepaskan diri dari perangkap ofsaid yang sekaligus menggelecek Razif untuk menambah gol kedua buat Klang Southern FC.

Ketika aksi babak pertama menuju penghujung, Charles Cheng Kuan menjadikan kedudukan 3-1 selepas beliau berjaya menyempurnakan percubaan susulan akibat kegagalan Razif untuk menangkap kemas rembatan dilakukan How Eng Hua.

Shahrul Afif melengkapkan kemenangan 4-1 buat Klang Southern FC selepas berjaya menyempurnakan peluang berikutan situasi kelam-kabut di hadapan gol PJH FC.

Dengan kemenangan ini meletakkan Klang Southern FC di tangga pertama kumpulan A dengan mencatatkan tujuh mata. Berkongsi mata dengan ABMK tetapi mereka berkelebihan perbezaan jaringan.

 

Leave a Reply