Duta ZXIV raih kemenangan dramatik, Philip cemerlang bantu Kajang AZS, Puchong Fuerza FC tundukkan Banting Naga dan rentetan kemenangan ABMK terhenti

Duta ZXIV 3-2 Gombak Hypernova FC

Perlawanan pertama bagi minggu ke-4 Selangor Champions League menyaksikan pertembungan di antara Duta ZXIV menentang pasukan Gombak Hypernova FC.

Duta ZXIV yang kecewa pada minggu lalu tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan seawal minit ketiga menerusi sepakan penalti.

Medina Mbeguere yang dikasari dalam kotak penalti dengan tenang menyempurnakan sepakan tersebut untuk gol ketujuh peribadinya selepas mengharungi empat perlawanan.

Penyerang gantian berusia 22 tahun, Shahail Nizam Mazlan berjaya menyamakan kedudukan buat Hypernova FC pada minit ke-53.

Shahail sekali lagi berjaya menjaringkan gol kali ini pada minit ke-56 sekaligus meletakkan Hypernova di hadapan.

Ketika Gombak Hypernova FT semakin menghampiri kemenangan pertama mereka, Jacque Faye memadamkan kelebihan tersebut selepas berjaya menyempurnakan sepakan percuma pada minit ke-70.

Pada minit ke-73, Ahmad Faizal Sumar muncul wira buat Duta ZXIV selepas beliau yang menerima lorongan dari Jacque, tidak melepaskan peluang bagi memberikan gol kemenangan di masa kecederaan sekaligus perlawanan tamat dengan keputusan 3-2 berpihak kepada Duta ZXIV.

CABJ 1-2 Kajang AZS FC

Tidak seperti aksi pertama yang berlangsung melibatkan Duta ZXIV dan Gombak Hypernova FT, pertemuan Kajang AZS bertemu CABJ berlangsung dengan sedikit hambar.

Namun, ia tidak menghalang penyerang tinggi lampai Kajang AZS, Phillip Abbah Eugine bagi membuka tirai jaringan pada minit ke-24.

Azrul Raimie Razi berjaya menggembirakan kem CABJ pada lewat aksi babak pertama selepas beliau yang menerima hantaran dari rakan sepasukannya, berjaya menggelecek penjaga gol dan pertahanan untuk kembali menyamakan kedudukan.

Namun, pada separuh masa kedua, Phillip Abbah kembali meletakkan Kajang AZS di hadapan pada minit ke-55 selepas penyerang itu berjaya melakukan tandukan yang menggegar gawang lawan.

Philip sebelum menerima hantaran lintang dari sebelah kiri pintu gol CABJ daripada Mohamed Abdurazzag Alkanouni.

Tamat perlawanan menyaksikan Kajang AZS mencatatkan kemenangan kedua selepas turut menang 2-1 pada minggu lalu, sementara itu, CABJ masih tercari-cari kemenangan sulung setelah hanya mencatatkan satu mata dari tiga perlawanan dilalui.

Banting Naga FC 0-3  Puchong Fuerza FC

Puchong Fuerza yang dibimbing Mohd Nazrulerwan Makmor pada kali dilihat lebih kemas berbanding perlawanan minggu lalu.

Puchong menguasai permainan dengan pemain tengah mereka iaitu Mohammad Hakim Zainal bertindak cemerlang merancana serangan pasukan.

Bermula dari gerakan yang diilhamkan Hakim buat Muhammad Farhanuzi Che Sanuzi di bahagian tengah, Farhanuzi melorongkan kembali bola buat Hakim yang terus meledakkan rembatan untuk jaringan pertama buat Puchong Fuerza pada minit ke-16.

Puchong berjaya menggandakan kedudukan pada minit ke-30 melalui pemain muda mereka, Izzul Muzakkir Aris yang mendapat hantaran cantik dari bahagian tengah untuk meluru pantas yang seterusnya berjaya menewaskan Okebaram Promise.

Banting Naga FC berusaha untuk kembali bangkit, namun usaha mereka digagalkan kekentalan jentera pertahanan Puchong Fuerza.

Zulkefli Baharuddin menamatkan api perjuangan Banting Naga FC ketika permainan hanya tinggal lima minit sahaja untuk ditamatkan menerusi rembatan dalam kotak penalti akibat kesilapan pertahanan lawan yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Kejayaan menumpaskan Banting Naga FC 3-0 ini merupakan kemenangan kedua buat Puchong Fuerza FC selepas mengharungi tiga perlawanan Selangor Champions League 2018.

 

Gombak FC 1-1 ABMK

Gombak FC dan Akademi Bolasepak Merah Kuning (ABMK) terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas mencatatkan keputusan seri 1-1 pada perlawanan minggu ke-4 ini.

ABMK terlebih dahulu mengancam kubu Gombak FC seawal minit ketiga selepas Mohd Shah Razmi Jasmi yang menerima hantaran jauh cantik, melepaskan rembatan yang berjaya dinafikan penjaga gol, Shahrul Iman Ahmad Shukri.

Di sebalik serangan yang dilancarkan, Gombak FC mengejutkan skuad yang dibimbing Asmawi Bakiri itu selepas Muhammad Nurullah Hakim Ramli dikasari dalam kotak penalti untuk dihadiahkan sepakan penalti.

Muhammad Iqbal Khairul Anuar yang diberikan tanggungjawab mengambil sepakan tidak mensia-siakan peluang untuk jaringan pertama buat Gombak FC pada minit ke-13.

Memasuki babak kedua, ABMK memperkemaskan aksi bagi mencari jaringan yang diharapkan.

Jaringan yang dinantikan ABMK menjelma di minit ke-50 selepas hantaran lintang dari sebelah kiri pintu gol Gombak FC yang dilakukan Muhammad Azery Zainal Abidin berjaya disudahkan oleh Muhammad Aidil Abd Aziz.

Kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan pantas untuk menghasilkan jaringan kemenangan namun gagal.

Keputusan terikat 1-1 itu kekal hingga tamat permainan untuk Gombak FC dan ABMK berpuas hati dengan satu mata pada perlawanan ini.

 

 

Leave a Reply