ABMK kekal rentak kemenangan, Axis O2 PJ FC raih kemenangan pertama, Gombak Hypernova FT ditundukkan Cheras Raptors dan NPNG Damansara Damai FC gah tewaskan Duta ZXIV.

ABMK 2-0 MPKj THE LIONS

Perlawanan pertama minggu ke-3 SCL2108 menyaksikan pertembungan di antara Akademi Bola Sepak Merah Kuning serta MPKj The Lions dengan keputusan 2 jaringan tidak berbalas berpihak kepada ABMK.

Aksi kurang bermaya dipamerkan kedua-dua pasukan pada separuh masa pertama apabila tidak banyak percubaan berbahaya yang dapat dicipta.

Namun ABMK berjaya membuka jaringan pada minit k-24 melalui sepakan percuma padu oleh Zul Hilmi Zaki.

Ia bukan jaringan sepakan percuma yang pertama berjaya dihasilkan Zul Hilmi apabila beliau juga turut menjaringkan gol menerusi situasi yang sama pada perlawanan Axis-O2 PJ FC, 2 minggu lalu.

Pemain gantian, Muhammad Nuriskandar Abdul Hamid melebarkan kedudukan buat ABMK pada minit ke-48 selepas rembatan dari dalam kotak penalti yang dilepaskan menewaskan penjaga gol MPKJ The lions, Danial Asraf Rani.

Keputusan 2-0 itu kekal hingga tamat permainan untuk kemenangan kedua buat ABMK manakala MPKJ The Lions pula masih tercari-cari kemenangan sulung selepas mengharungi tiga perlawanan.

AXIS O2 PJ FC 2-1 GOMBAK FC

Kemenangan yang dicari Axis-O2 PJ FC dalam aksi Selangor Champions League 2018 (SCL2018) akhirnya menjelma pada perlawanan ketiga selepas berjaya menundukkan Gombak FC 2-1.

Axis-O2 yang sekadar meraih satu mata selepas mengharungi dua perlawanan apabila tewas 2-1 pada perlawanan pembukaan bertemu ABMK dan terikat tanpa jaringan menentang MPKJ The Lions FC tidak menunggu lama bagi mencipta jaringan pembukaan.

Menerusi gerakan solo dari sebelah kanan pintu gol Gombak FC yang dilakukan pertahanan kanan, Lucky Ogu, pemain kelahiran Nigeria itu kemudiannya menyudahkan secara sendirian peluang tersebut untuk gol pendahuluan buat Axis-O2 pada minit ke-5.

Desmond berjaya menambah jaringan Axis O2 pada minit ke-56 perlawanan selepas percubaan leret beliau berjaya menewaskan penjaga gol Gombak FC.

Gol saguhati Gombak FC muncul pada minit ke-60 perlawanan selepas pemain pertahanan Axis O2 iaitu As’syaqireen Hasnoddin cuba untuk menanduk keluar hantaran pemain sayap Gombak namun termasuk gawang sendiri.

Keputusan 2-1 kekal hingga tamat perlawanan.

Gombak Hypernova FT 1-2 Cheras Raptors

Cheras Raptors berjaya mencatatkan kemenangan sulung selepas menewaskan Gombak Hypernova FT 2-1 pada perlawanan minggu ketiga saingan Selangor Champions League 2018.

Tiga jaringan terhasil di babak pertama dan dua daripadanya menerusi sepakan penalti yang dihadiahkan kepada Cheras Raptors.

Penyerang muda Cheras Raptors yang menjadi sandaran utama bagi menjaringkan gol, Muhamad Imran Samsudin jelas memberikan masalah buat Gombak Hypernova FT.

Ia dibuktikan apabila pemain berusia 20 tahun itu dua kali dikasari dalam kotak penalti untuk memberikan sepakan penalti buat Cheras Raptors.

Satiskumar menarik nafas lega selepas tendangan penalti beliau yang tersasar pada kali pertama diarahkan pengadil untuk diambil sekali lagi kerana kesalahan penjaga gol Gombak Hypernova.

Satiskumar tidak mensia-siakan peluang tersebut dan berjaya meletakkan Cheras Raptors dihadapan pada minit ke-11.

Sepakan penalti kedua buat Cheras Raptors menjelma berselang empat minit kemudian dan kali ini giliran Sugunthan A/L Maniam menyempurnakan sepakan tersebut untuk melebarkan kedudukan 2-0.

Hypernova FT yang masih berupaya mempamerkan corak permainan kemas di sebalik rasa tidak puas hati dalam kalangan pemain mereka, berjaya merapatkan jurang pada minit ke-35.

Nik Mohd Syukri Nik Wil yang meluru pantas ke pintu gol lawan tidak melepaskan peluang untuk mencipta jaringan buat Hypernova FT.

Keputusan 2-1 tersebut kekal hingga tamat permainan untuk mengesahkan kemenangan pertama buat Cheras Raptors.

NPNG Damansaara Damai FC 2-0 Duta ZXIV

NPNG Damansara Damai FC telah berjaya membuktikan kejaguhan mereka selepas menundukkan satu lagi pasukan pilihan juara iaitu Duta ZXIV dengan keputusan 2-0.

Kekalahan yang mengakibatkan Duta ZXIV mengalami kekalahan pertama selepas cemerlang memungut tiga mata penuh pada dua perlawanan lalu.

Mohd Lukhman Noor Hakim hampir meletakkan NPNG FC di hadapan pada minit ke-11 selepas beliau yang mendapat hantaran lambung cantik dari Ravindran A/L Krishnan dari tengah padang.

NPNG Damansara Damai FC akhirnya berjaya mencipta jaringan pada minit ke-47 menerusi Ridhwan Johan.

Bermula dari percubaan Lukhman Noor Hakim yang ditepis keluar Nor Eqram, Ridhwan Johan yang tidak dikawal berjaya melepaskan rembatan bagi menghadiahkan jaringan pembukaan buat NPNG FC.

Pemain tengah kreatif Duta ZXIV, Mohd Syazmin Firdaus Mohd Aminuddin cuba untuk merapatkan kedudukan melalui sepakan percuma padu namun penjaga gol NPNG, Zaidi Razlee lebih tangkas untuk menafikan percubaan tersebut.

Ketika perlawanan semakin menghampiri penghujung, pemain gantian, Ismail Mamat menoktahkan perjuangan Duta ZXIV untuk jaringan kedua buat NPNG FC

 

 

Leave a Reply