NPNG hampir dikejutkan, Duta ZXIV tenang membelasah, Banting Naga raih 3 mata dan juara bertahan masih gagal meraih 3 mata

Cheras Raptors FC 1-1 NPNG Damansara Damai FC

Perlawanan pertama hari kedua bagi minggu pertama menyaksikan pasukan pilihan juara iaitu NPNG Damansara Damai FC hampir dikejutkan oleh Cheras Raptors FC.

NPNG Damansara Damai FC mempamerkan aksi yang lebih kemas berbanding Cheras Raptors apabila mendominasi hampir keseluruhan aksi di babak pertama dengan kawalan permainan yang cukup baik.

Pemain sayap kiri NPNG FC, Ismail Mamat yang mempunyai larian deras terlepas dua peluang keemasan bagi menjaringkan gol.

Penguasaan NPNG Damansara Damai FC diteruskan sebaik sahaja permainan separuh masa kedua kembali bersambung.

Disebalik penguasaan yang ditampilkan, Cheras Raptors FC mengejutkan NPNG Damansara Damai FC menerusi jaringan yang terhasil pada minit ke-64.

Jaringan tersebut terhasil selepas hantaran lintang yang dilakukan Aiman Sirajuddin berjaya dikuis oleh pemain gantian, Khairul Anuar Hashim untuk memecah kebuntuan.

Kegembiraan skuad yang berpengkalan di Cheras itu hanya bertahan selama seminit setelah pemain pertahanan kiri NPNG FC, Jihad Ismail kembali menyamakan kedudukan.

Dua jaringan pada lewat permainan itu kekal hingga wisel penamat ditiupkan pengadil perlawanan untuk satu mata berharga buat kedua-dua pasukan.

Duta ZXIV 3-0 Klang Valley United

Pemain yang paling banyak dipilih bagi SCL2018 Football Fantasy iaitu Medina Mbeguere sekali lagi mengganas apabila berjaya menjaringkan 2 gol dan satu lagi gol daripada sepakan percuma cantik Jacque Faye.

Jaringan pertama terhasil setelah Medina yang tidak dikawal, mendapat lorongan cantik dari Jacque Faye dan seterusnya menggelecek penjaga gol KVU, Mohd Hafizi Hamdan untuk membuka tirai jaringan.

Tidak cukup dengan jaringan tersebut, Medina sekali lagi menggembirakan kem Duta ZXIV selepas beliau dengan mudah menyudahkan hantaran lintang dilakukan Rinmon Ngo.

Sebaik sahaja perlawanan kembali bersambung, Klang Valley United yang dibimbing Shazwan Wong memiliki peluang bagi menjaringkan gol menerusi sepakan penalti pada minit ke-36.

Namun, Azeez Akeem Yemi yang ditugaskan mengambil sepakan tersebut, melakukan rembatan tersasar untuk menyelamatkan gawang Duta ZXIV.

Penguasaan bola jelas buat Duta ZXIV serta permainan teratur dipamerkan telah digunakan sepenuhnya untuk menambah gol ketiga menerusi seorang lagi pemain import mereka iaitu Jacque Faye pada minit ke-64.

Jaringan tersebut dihasilkan menerusi sepakan percuma cantik oleh Jacque untuk mengesahkan kemenangan kedua berturut-turut buat Duta ZXIV.

Paya Jaras Hiliran FC 0-1 Banting Naga FC

Firdhaus Azman muncul wira Banting Naga FC selepas jaringan minit akhir permainan yang dihasilkannya membantu kelab dari Banting itu menewaskan Paya Jaras Hiliran FC 1-0.

PJH FC yang turun buat pertama kali dalam kempen musim ini kelihatan agak gugup pada permulaan babak pertama.

Kesempatan itu digunakan sepenuhnya oleh Banting Naga FC bagi mengatur gerakan memburu jaringan.

Lorongan cantik dari Firdhaus Azman berjaya mencari Muhammad Fawayzur Nain Wahid, namun rembatan yang dilepaskan pemain berusia 21 tahun dari Naga FC itu lemah dan mudah ditangkap penjaga gol PJH, Mohd Razif.

PJH yang sesekali berusaha untuk mengancam kubu Naga FC memperoleh peluang terbaik pada minit ke-33 setelah percubaan dari Fawayzur berikutan situasi kelam kabut di hadapan gol terkena palang gol.

Ketika perlawanan seakan-akan bakal berakhir tanpa jaringan, Firdhaus Azman muncul wira buat Banting Naga FC selepas meledakkan jaringan kemenangan pada masa kecederaan.

Firdhaus yang mendapat hantaran daripada Saravana Kumar dalam kotak penalti, tidak melepaskan peluang melepaskan rembatan bag menghadiahkan tiga mata penuh buat Naga FC.

 

MPKJ The Lions 0-0 Axis O2 PJ FC

Axis-O2 PJ FC melepaskan peluang beraksi dengan kelebihan dua orang pemain selepas hanya sekadar mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan ketika bertemu MPKJ The Lions FC di Arena MPSJ.

Axis-O2 yang merupakan juara edisi musim lalu lebih mengawal permainan dengan penguasaan bola yang dicatat sebanyak 57% pada babak pertama.

Namun, penguasaan tersebut tidak memberikan sebarang makna selepas tiada serangan berbahaya yang dapat dicipta skuad dari Petaling Jaya itu.

Ketika tidak banyak yang dapat diperkatakan mengenai aksi di babak pertama, penyerang MPKJ FC,  Muhamad Hazim Mohamad mencuri tumpuan.

Bukan kerana beliau berjaya menjaringkan gol tetapi insiden dilayangkan kad merah selepas Hazim menerima kad kuning kedua akibat terjahan keras yang dilakukannya terhadap Mohammad Hafiz Sharif pada minit ke-33.

Malang terus menimpa MPKJ FC apabila mereka kehilangan seorang lagi pemain setelah Fitri Zaidi pula dilayangkan kad merah pada minit ke-51.

Ketika dua kad merah dilayangkan di dalam padang buat pemain, pemain simpanan Axis-O2 turut diperintah keluar padang oleh pengadil perlawanan.

Axis-O2 terlepas peluang keemasan pada masa kecederaan selepas Iman Mazlan yang memperoleh peluang dihadapan pintu gol, melakukan rembatan yang sedikit tersasar yang jelas begitu menghampakan kem pasukan tersebut.

Aksi hambar tersebut kekal hingga tamat permainan untuk kedua-dua pasukan berpuas hati dengan satu mata.

 

Leave a Reply