RANGKUMAN HARI PERTAMA MINGGU PERTAMA SCL2018

Axis O2 PJ FC vs ABMK

Perlawanan pembukaan menyaksikan pertembungan pasukan juara bertahan iaitu Axis O2 PJ FC menentang pasukan pilihan juara iaitu AMBK.

Kedua-dua pasukan mempamerkan aksi yang seimbang dengan masing-masing saling membalas serang dan mempunyai peratusan penguasaan padang yang hampir sama.

Penyerang berbisa Axis O2 iaitu Desmond Amadi berjaya membuka jaringan pada minit ke-30 melalui tandukan yang cantik.

Namun kelebihan itu berjaya dipadamkan oleh ketua pasukan ABMK iaitu Fazli Baharuddin melalui sepakan penalti dan kemudian Zul Hilmi berjaya meletakkan ABMK di hadapan melalui sepakan percuma yang gagal diselamatkan sekaligus perlawanan tamat dengan keputusan 2-1 berpihak kepada ABMK.

Klang Southern FC vs MPKj The Lions

Pasukan otai SCL, Klang Southern FC sekali lagi turun pada musim ini dan perlawanan pertama mereka adalah menentang pendatang baru SCL iaitu MPKj The Lions.

Seperti perlawanan pertama, kedua-dua pasukan bermain dengan sedikit berhati-hati dan mempunyai penguasaan padang yang seimbang.

Jaringan pembukaan berjaya dihasilkan oleh pemain tengah Klang Southern iaitu How Eng Hua melalui sepakan percuma yang memukau pada minit ke-26.

Namun kesilapan pemain Klang Southern yang melakukan kekasaran di dalam kotak penalti pada minit ke-43 memberikan peluang keemasan buat MPKj untuk menyamakan kedudukan.

Ketua pasukan MPKj iaitu Fauzi Adnan tidak melepaskan peluang untuk menjarinkan gol melalui rebound yang sebelum itu berjaya ditepis oleh penjaga gol Alief Daniel.

Keputusan tamat, Klang Southern FC 1, MPKj The Lions 1.

 

NPNG FC Damansara Damai vs Gombak Hypernova FT

Antara perlawanan yang disebut-sebut pada minggu pertama selepas satu golazo berjaya dijaringkan oleh Arih amir pada minit ke-11.

Sepakan memukau di luar kotak Arih Amri tepat ke bucu gol sebelah kanan penjaga gol sekaligus meletakkan Gombak Hypernova FT dihadapan.

Tersentak dengan jaringan itu, NPNG FC memperkemaskan aksi mereka dan hanya memerlukan lima minit bagi menyamakan kedudukan.

Pemain tengah berpengaruh NPNG FC, Lukhman Noor Hakim meletakkan nama selaku penjaring selepas rembatannya dalam kotak penalti gagal dihalang Aidil Anuar untuk kedudukan 1-1.

Gol kemenangan NPNG hadir melalui sepakan sudut yang diambil Ismail Mamat yang terus disambar Sivachancran Gunasekaran dan kemudiannya disudahkan dengan baik oleh Darshen Ganesan pada minit ke-68.

Tamat perlawanan, NPNG Damansara Damai FC 2, Gombak Hypernova FT 1.

Klang Valley United vs Cheras Raptors FC

Jaringan sepakan penalti pada lewat permainan menyelamatkan Klang Valley United dari menerima kekalahan apabila berjaya mengikat Cheras Raptors 2-2 pada perlawanan terakhir hari pertama SCL2018.

Kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan yang menghiburkan dengan gerakan-gerakan yang dicipta seringkali mengancam kubu lawan masing-masing.

Cheras Raptors yang dibarisi pemain yang pernah beraksi dalam saingan Liga Super, Irfan Ghani tersentak seawal minit ke-3 selepas pemain pertahanan, Syahlan Zakaria tertolak bola masuk ke gawang sendiri.

Cheras Raptors menyamakan kedudukan pada minit ke-43 selepas Hamad Mabkhot menjaringkan gol cantik menerusi sepakan percuma yang terus menewaskan penjaga gol Klang Valley United, Mitchell Gilbert.

Amares Singh menambah jaringan buat Cheras Raptors selepas beliau menanduk masuk bola hasil sepakan percuma yang diambil Hamad pada minit ke-62.

Fadhullah Rawi hampir melebarkan kedudukan buat Raptors, namun sepakan penalti yang diambil berjaya dinafikan Mitchell.

Azim Johar melakukan kesilapan apabila mengasari pemain Klang Valley United dalam kotak penalti dan mudah bagi penyerang Klang Valley United Akeem Azeez Yemi untuk menyempurnakannya pada masa tambahan sekaligus permain tamat dengan keputusan seri 2 sama.

 

Leave a Reply