Previu 8 pasukan terakhir pusingan kelayakan (Bahagian 2)

BU Eagles FC

BU EAGLES

 

3 kemenangan berturut-turut dan 16 gol di kumpulan E, tak keterlaluan untuk mengatakan BU Eagles FC berada satu kelas di atas 3 lagi pasukan dalam kumpulan mereka.

 

BU Eagles memulakan kempen playoff SCL2018 mereka dengan menewaskan Waris Malaya FC 5-3. Seminggu kemudian mereka menumbangkan cabaran GTB 4-1 sebelum melengkapkan 3 kemenangan berturut-turut mereka dengan kemenangan dominan 7-0 ke atas Gamsu FC.

Dominasi BU Eagles sangat jelas sehinggakan semasa perlawanan menentang Gamsu FC, pemain-pemain mereka berhenti meraikan jaringan semasa gol kedua lagi.

 

Dibarisi oleh pemain-pemain dan staf pengurusan yang biasanya dilihat di bawah nama Level Up FC, BU Eagles boleh dikatakan mempunyai pengalaman luas dalam kejohanan Selangor Champions League.

 

Ketika edisi 2017 pengurus mereka, P. Ganesan pernah membawa pemain-pemainnya (ketika bersaing di bawah nama Level Up FC) sehingga ke peringkat separuh akhir SCL2017 – satu pencapaian yang menakjubkan bagi sebuah pasukan yang kalah 3 perlawanan pertama kumpulan mereka.

Sekali pandang, pemain-pemain mereka mungkin nampak biasa-biasa sahaja. Tetapi jangan sesekali buat kesilapan memandang rendah mereka. Kesefahaman yang pemain-pemain BU Eagles bina sejak mereka bermain di Akademi Bolasepak Royal Selangor ketika kecil membolehkan mereka untuk menumbangkan satu demi satu pasukan gergasi yang berada di laluan mereka.

 

Sharran Raj dan Indera Sukma adalah nama wajib P. Ganesan di barisan pertahanan. Ketenangan Aritz Zainal di posisi defensive midfielder membolehkan barisan penyerang BU Eagles seperti Matthew Devaraj, Tan J. Shawn dan Gaith Jaafa fokus kepada tugas merobek pertahanan lawan.

 

Pada Sabtu ini, pengalaman pemain-pemain BU Eagles yang sudah masak dengan asam-garam Selangor Champions League bakal diuji oleh KRU yang teruja untuk menulis sejarah baru kelab mereka.

 

Kelab Raja Uda (KRU)

KRU

 

KRU, atau Kampung Raja Uda, mungkin sudah terkenal dalam arena bola sepak komuniti terutamanya di kawasan mereka, Klang. Tetapi di peringkat Selangor, mereka masih belum mengukir nama. Tetapi segalanya itu mungkin berubah pada tahun ini jika mereka berjaya menewaskan BU Eagles pada hari Sabtu ini.

 

Berdasarkan persiapan KRU pada tahun ini, ternyata pasukan yang diuruskan oleh Kamal Arifin ini sudah mula mengambil serius saingan Selangor Champions League. Pasukan mereka pada musim ini diperkuatkan dengan beberapa pemain dari FAS Super League dan tidak lupa, dari PIB FC – naib juara SCL2017.

Pemain seperti Fikry Tukiman serta Muhd Huzaini bertanggungjawab membawa PIB hingga ke pentas final pada tahun lepas. Batharul Zaman mungkin belum sempat beraksi lagi untuk KRU dalam playoff kali ini, tetapi pengalaman dan skil kepimpinan beliau amatlah diperlukan jika KRU mahu menewaskan BU Eagles pada Sabtu ini.

 

Di hadapan, Huzaini sudah pun menggegar 2 gol dalam perlawanan terakhir kumpulan F menentang Arslan yang sukar. Jika KRU memerlukan pengalaman dari pemain senior untuk menjaringkan gol, Rosedy Muslim boleh datang membantu.

Bakal menentang lawan yang berpengalaman seperti BU Eagles, KRU memerlukan pemain-pemain berpengalaman mereka untuk memberi komitmen jika mereka serius mahu memperbaiki pencapaian mereka ketika bersaing dalam SCL2016.

 

Nadi TYD FC

NADI TYD

Kelab yang ditubuhkan pada 1 Januari 2018 ini berjaya mengharungi perlawanan peringkat kumpulan G dengan jayanya apabila mereka berjaya merekodkan tiga kemenangan. Nadi TYD memulakan kempen playoff SCL 2018 dengan menewaskan pasukan Putra City FC dengan keputusan 1-0 hasil jaringan penyerang berusia 38 tahun mereka iaitu Mohd Termizi Bin Mat Isa.

 

Rentak cemerlang Nadi diteruskan pada perlawanan minggu kedua apabila mereka mengutip kemenangan kedua dengan menewaskan Sungai Buloh Rovers dengan keputusan 3-0.

Nadi nyata dahagakan kemenangan dan mereka berjaya meneruskan rentak cemerlang pada perlawanan minggu ketiga. Kali ini, Nadi membelasah pasukan SAB FC dengan keputusan 4-0. Lapan jaringan yang berjaya dihasilkan nyata memberikan amaran kepada pasukan lain bahawa mereka mengambil serius pusingan playoff bagi melayakkan diri ke saingan Selangor Champions League 2018.

 

Selain menunjukkan prestasi yang cemerlang dari segi jaringan gol, Nadi juga menunjukkan satu prestasi yang baik di bahagian pertahanan apabila mereka menamatkan saingan kumpulan tanpa melepaskan sebarang gol. Satu pencapaian yang membanggakan oleh pasukan yang menamatkan sainganĀ  Liga Komuniti Puchong 2018 di tangga kedua.

Pemain Nadi TYD yang perlu diberi perhatian menurut kami ialah pemain sayap mereka iaitu Mohd Faiz bin Basheer Ahmed. Pemain sayap berusia 25 tahun ini berjaya menjaringkan 2 gol sepanjang perlawanan peringkat kumpulan dan merupakan ancaman utama bagi pertahanan lawan dari sebelah sayap.

 

Pada perlawanan menentang ABMK Sabtu ini, kelincahan Faiz sudah pasti ditagih oleh Nadi bagi membolehkan mereka melayakkan diri untuk beraksi dalam saingan SCL 2018.

 

Akademi Merah Kuning (ABMK)

AKADEMI BOLASEPAK MERAH KUNING (ABMK)

ABMK atau nama panjangnya Akademi Bolasepak Merah Kuning juga tidak kurang hebatnya apabila mereka turut menamatkan saingan kumpulan H dengan meraih tiga kemenangan.

 

Bertapak di Kompleks ABMK Puncak Alam, pasukan ini merupakan wakil akademi bolasepak bersama-sama NFDP namun hanya ABMK sahaja layak ke pusingan seterusnya selepas NFDP sekadar di tempat kedua terbaik kumpulan A.

ABMK yang ditubuhkan pada tahun lalu memulakan kempen playoff dengan mencatat kemenangan besar dimana mereka membelasah pasukan Newbies FC dengan jaringan 7-0. ABMK menjaringkan tiga gol pada separuh masa pertama dan menjaringkan empat lagi gol pada separuh masa kedua.

 

Memasuki minggu perlawanan kedua, ABMK meneruskan rentak kemenangan apabila mereka menang 1-0 tipis ke atas pasukan Cabin 17.

Rentak cemerlang ABMK tidak terhenti di perlawanan minggu kedua. Memasuki minggu ketiga, ABMK masih lagi dahagakan kemenangan dan kali ini mereka berjaya melengkapkan kecemerlangan mereka dalam saingan peringkat kumpulan dengan menewaskan Glory United 4-1.

Teman lelaki kepada artis terkenal, Fasha Sandha iaitu Mohd Aidil Aziz berjaya menjaringkan hatrik pada perlawanan menentang Glory United.

 

Jentera serangan ABMK yang menunjukkan aksi cemerlang sememangnya menjadi elemen penting dalam perjalanan pasukan ini menuju ke peringkat akhir playoff ACL 2018. 12 gol yang berjaya dijaringkan sudah cukup untuk menghadirkan gerun di hati pemain pertahanan lawan.

Pada perlawanan Sabtu ini, ketajaman jentera serangan yang bakal diketuai Aidil Aziz akan sekali lagi menjadi harapan utama pasukan bagi menewaskan Nadi TYD pada Sabtu ini sekaligus mara ke saingan Selangor Champions League 2018.

 

Ayuh kita berikan sokongan kepada pasukan yang bakal berentap dalam pusingan akhir playoff SCL 2018 yang akan diadakan pada Sabtu ini di Padang Johan Setia, Klang. Anda bakal disajikan dengan aksi menarik daripada lapan pasukan yang bakal berentap nanti.

 

*Artikel ini ditulis oleh Semuanya Bola serta Inikan Bola yang merupakan Rakan Media rasmi SCL2018.

Leave a Reply