Puchong Fuerza FC 0-0 Duta ZXiV (Puchong menang 2-0 melalui sepakan penalti)

Gabriel Sunday muncul hero Puchong Fuerza apabila 3 aksi penyelamat beliau ketika penentuan penalti berjaya menyingkirkan Duta ZXiV dari saingan Selangor Champions League 2018.

Puchong Fuerza memulakan perlawanan dengan baik apabila seawal minit pertama lagi berjaya memecah masuk kubu Duta ZXiV. Sentuhan pertama penyerang mereka, Afiq Azmi membolehkan beliau mendapat ruang untuk membuat percubaan. Bagaimanapun teknik kurang baik membuatkan percubaan bekas penyerang Selangor dan Negeri Sembilan ini meliar dari sasaran.

Ketiadaan penyerang utama Duta ZXiV, Medina Mbeguerre kerana digantung perlawanan jelas menjejaskan kelancaran serangan pasukannya. Meskipun penggantinya, Jacque Faye – yang biasanya bermain di posisi tengah – mempunyai fizikal sama seperti Medina, tetapi Jacque kelihatan kekok beraksi sebagai penyerang bidan terjun.

Tambah parah buat Duta ZXiV, kehilangan Jacque dari jentera tengah menyukarkan kerja juara KVL Super League 2018 ini menangani kelincahan Farhanuzi Che Sanuzi. Farhanuzi yang berpasangan dengan Norismaidham Ismail di tengah, dibantu pula oleh penyerang Hakim Zainal, berkali-kali memporak-perandakan pertahanan Duta ZXiV.

Duta ZXiV bagaimanapun berjaya mempamerkan persembahan yang lebih bertenaga pada separuh masa kedua. Salah satu sebabnya adalah Jacque Faye turun semula di jentera tengah. Tetapi seperti pertahanan Duta ZXiV pada separuh masa pertama, Puchong Fuerza juga teguh bertahan.

Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan. Tetapi pertahanan kedua-dua pasukan juga kental bertahan sehingga memudahkan kerja penjaga gol mereka masing-masing. Pujian harus diberikan kepada Faizal Sumar, Fitri Yatim (Duta ZXiV) dan Al Amin Abdullah, Arfiyansah Abdul Jafar (Puchog Fuerza) kerana prestasi cemerlang mereka mengemudi kubu masing-masing.

Dengan kedua-dua pasukan masih terikat 0-0 selepas 90 minit, nasib kedua-dua pasukan ditentukan oleh loteri sepakan penalti. Ketika inilah Gabriel Sunday muncul hero Puchong Fuerza apabila cemerlang menyelamatkan 3 penalti Duta ZXiV sebelum Aznorayll Alazaman mengesahkan kemaraan pasukannya ke separuh akhir.

KRU Port Klang FC 1-0 Axis O2 PJ FC

Gol Huzaini Ikhram dan keteguhan barisan pertahanan KRU Port Klang FC menjadi faktor penting yang membolehkan mereka berjaya menewaskan juara bertahan, Axis O2 PJ FC dalam aksi suku akhir Selangor Champions League 2018.

Dominasi Axis O2 jelas kelihatan sejak awal. Mendapat suntikan semangat dengan kehadiran beberapa pemain yang sebelum ini tidak dapat diturunkan seperti Farhan Khairul Anuar, Adli Zulgafli dan Ridwan Zainal, Axis O2 menekan kubu pertahanan KRU berkali-kali. Bagaimanapun ketidaktajaman hantaran akhir mereka mengecewakan usaha serangan mereka.

Hanya percubaan Ridwan Zainal pada minit ke-2 yang betul-betul menguji kecekapan penjaga gol KRU, Sulaiman Ramlan.

KRU juga mempunyai beberapa peluang serangan yang mencemaskan Axis O2. Dibantu oleh kelajuan penyerang tunggal, Huzaini Ikhram dan pemain sayap, Aniq Kamal, konsentrasi Shahizan Ismail dan rakan pertahanan tengahnya, Lucky Ogu diuji sebanyak 2 kali dalam separuh masa pertama. Tetapi secara keseluruhannya Axis O2 masih pasukan yang paling dominan.

8 minit sebelum rehat separuh masa pertama, aspirasi KRU untuk melangkah ke separuh akhir terlanggar dinding pertama apabila pertahanan tengah mereka, Khairi Khandani diperintah keluar padang selepas mengasari Ridwan Zainal.

KRU akhirnya berjaya juga menjaringkan gol apabila pada minit 63′ Huzaini Ikhram berjaya melepasi perangkap ofsaid Axis O2 sebelum meledak penyudah tenang menewaskan penjaga gol lawan, Nor Azrin.

Meskipun bermain dengan 10 orang dan diasak bertubi-tubi oleh Axis O2, KRU masih mampu mencipta 2 lagi peluang gol jelas selepas gol pertama tadi. Tetapi pnyudah tumpul Rosedy Muslim pada minit 76′ dan Suhaili Abdul Rahman 5 minit kemudian menggagalkan usaha KRU untuk menambah gol.

Kehilangan Desmond Amadi dari kesebelasan utama Axis O2 jelas memberi impak kepada ketajaman serangan juara bertahan itu. Meskipun dominan dan mencipta banyak peluang, jentera pertahanan KRU kental bertahan untuk mara ke separuh akhir.

ABMK 1-1 Kajang AZS FC (Kajang AZS menang 3-0 melalui sepakan penalti)

Aksi cemerlang penjaga gol Kajang AZS, Khairil Asyraf dalam penentuan penalti membolehkan Kajang AZS mara ke separuh akhir Selangor Champions League 2018 selepas terikat 1-1 dengan Akademi Bolasepak Merah Kuning (ABMK).

Berbanding Kajang AZS, ABMK memulakan perlawanan dengan lebih baik meskipun turun tanpa pemain sayap bintang mereka, Nuriskandar Abdul Hamid. Jentera tengah mereka yang dikawal oleh Azery Zainal Abidin dan Zulhilmi Zaki dominan menguasai padang dan mencipta banyak peluang untuk trio serangan Fazli Baharudin, Farees Ismail dan Shah Razmi.

Cuma yang canggungnya bagi ABMK, Fazli Baharudin yang biasanya bermain di bahagian sayap nampak tidak selesa ditugaskan bermain sebagai penyerang utama di tengah.

Ini menyebabkan banyak siri-siri serangan mereka gagal diterjemahkan kepada peluang gol. Ditambah pula dengan kecemerlangan barisan pertahanan Kajang AZS, ABMK bergelut untuk menguji Khairil Asyraf yang hanya perlu melakukan 1 aksi menyelamat sepanjang separuh masa pertama.

Sebaliknya Kajang AZS yang banyak bertahan pada separuh masa pertama yang menjaringkan gol terlebih dahulu. Berpunca daripada kekasaran Zul Faiq yang menjatuhkan Abdulrazzag Alkanouni dalam kotak penalti pada minit 32′, pengadil kemudiannya tidak teragak-agak memberikan penalti untuk Kajang AZS.

Phillip Abbah tidak melakukan sebarang kesilapan menyempurnakan penalti tersebut untuk gol pertama perlawanan dan gol ke-11 peribadinya dalam Selangor Champions League 2018.

Pendahuluan Kajang AZS bagaimanapun tidak bertahan lama. 2 minit selepas separuh masa kedua bermula, ABMK menyamakan kedudukan 1-1 menerusi gol Ibnu Hisyam susulan daripada sepakan percuma Zulhilmi Zaki.

Kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat 90 minit untuk mengheret kedua-dua pasukan ke penentuan penalti.

Dalam penentuan penalti, 3 aksi penyelamat daripada penjaga gol Kajang AZS, Khairil Asyraf membolehkan pasukannya mara ke separuh akhir untuk menang 3-0 selepas terikat 1-1 dalam 90 minit masa sebenar.

NPNG FC Damansara Damai 3-0 MPKj The Lions

NPNG Damansara Damai menepati status pilihan mereka apabila mudah menumbangkan cabaran MPKj The Lions 3-0.

NPNG yang turun dengan label pasukan pilihan jelas pasukan yang lebih dominan sebaik perlawanan dimulakan. Pertahanan MPKj bergelut untuk menangani kelajuan dua pemain sayap NPNG, Haiqal Johari dan Ismail mamat, fizikal tinggi penyerang utama, Ridhwan Johari serta kreativiti Lukhman Noor di tengah.

Satu-satunya faktor MPKj mampu bertahan dan menghalang NPNG menjaringkan gol pertama adalah kecemerlangan pasangan pertahanan tengah mereka, Chibozor Paul dan Isshahfudin Nordin. Kedua-dua pemain ini kerap kali mematahkan hantaran berbahaya Lukhman Noor dan hantaran-hantaran lintang Haiqal Johari untuk menyukarkan kerja Ridhwan Johari menjaringkan gol.

Selepas bertubi-tubi menguji kubu pertahanan MPKj, NPNG akhirnya berjaya juga menjaringkan gol pada minit 40′. Berpunca daripada hantaran mengelirukan daripada Ismail Mamat, Haiqal Johari kemudiannya memupunyai ruang besar untuk tenang menjaringkan gol pembukaan perlawanan.

3 minit kemudian, Ismail Mamat bertukar status dari penyumbang kepada penjaring. Segalanya berpunca daripada kegagalan penjaga gol MPKj, Nik Muhammad Sufian yang gagal menangkap kemas hantaran lintang kanan untuk memberi ruang kepada Ismail menjaringkan gol kedua pasukannya.

Ketinggalan 0-2, MPKj cuba bangkit menyerang NPNG. Watak utama babak-babak serangan mereka adalah penyerang sayap berusia 18 tahun, Afif Mazlan. Kelajuan Afif beberapa kali menguji keteguhan Wan Mohd Hamizi. Tetapi tanpa sokongan daripada rakan-rakan sepasukannya yang lain, Afif gagal memecah kebuntuan MPKj di hadapan gol.

Sebaliknya NPNG yang bertahan pada majoriti separuh masa kedua yang menambah gol ketiga mereka lewat permainan. Pada minit 85′, sepakan penjuru Raffi Mansor berjaya menemui pemain gantian, Syafiq Johari yang mudah menampan masuk melepasi kawalan mana-mana pemain MPKj.

Kedudukan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Dengan kemenangan ini, NPNG Damansara Damai mara ke separuh akhir untuk bertemu Puchong Fuerza.

Leave a Reply