Perlawanan pertama suku akhir SCL2018 menemukan dua pasukan gergasi iaitu Puchong Fuerza FC dan Duta ZXiV. Puchong layak ke suku akhir setelah menjadi naib juara kumpulan A dengan 14 mata manakala Duta ZXiV berada di tempat ke-3 kumpulan B dengan 17 mata.

Setelah tamatnya saingan peringkat kumpulan, Puchong telah mencatat 4 kemenangan, 2 seri dan 1 kekalahan. Manakala Duta mencatat 5 kemenangan, 2 seri serta 1 kekalahan.

Jadi kita boleh lihat bahawa kalau daripada segi minit permainan, Puchong bermain hanya 7 berbanding Duta ZXiV yang bermain 8 perlawanan selepas Shah Alam Antlers membuat keputusan untuk menarik diri daripada SCL2018 sekaligus menyaksikan kumpulan A hanya berbaki 8 pasukan sahaja. Ini mungkin memberikan kelebihan kepada Puchong Fuerza dari segi stamina kerana kurangnya bermain satu perlawanan.

Kini kita lihat pula daripada aspek menghasilkan jaringan dan bolos pula. Setakat ini Puchong telah menghasilkan 10 jaringan dengan 4 kali bolos manakala Duta menjaringkan 19 gol dan 6 kali bolos.

Perbezaan jaringan kedua-dua pasukan ini hampir sama iaitu Puchong (6) dan Duta (7). Mereka mampu untuk menjaringkan gol namun masih lagi perlu memperbaiki bahagian pertahanan mereka.

Penjaring terbanyak bagi Puchong adalah Hakim Zainal dengan 3 gol manakala Duta pula adalah Medina Mbeguere dengan 10 gol dan merupakan penjaring terbanyak setakat ini bersama-sama Philip Abbah daripada Kajang AZS.

Meskipun Puchong banyak bermain di bahagian sayap, namun hantaran lintang dan hantaran jarak jauh kepada Afiq Azmi jarang menghasilkan gol. Sebaliknya larian cut inside daripada winger mereka serta serangan di bahagian tengah yang diketuai oleh Hakim Zainal lebih berfungsi.

Bagi Duta pula, taktikal mereka yang bermain di bahagian sayap banyak memberikan kelebihan kepada Medina untuk menjaringkan gol. Beliau yang begitu berbisa di dalam kotak di seringkali melakukan tugas mudah untuk membuat ‘tap in goal’ hasil lorongan pemain sayap berkualiti mereka iaitu Rinmon Ngo.

Namun harus diingatkan bahawa Medina tidak akan diturunkan kerana digantung kerana mengutip 3 kad kuning. Mungkin ini akan memberikan sedikit permasalahan buat Duta namun juga ini memberi peluang kepada pemain tengah mereka iaitu Syazmin Aminuddin untuk sekali lagi membuktikan beliau juga pemain yang perlu diberi perhatian.

Kedua-dua pasukan juga seringkali mempertaruhkan kesebelasan utama yang sama. Mungkin hanya ada beberapa pertukaran sahaja dilakukan.

Jadi boleh dikatakan perlawanan ini sukar untuk kita ramalkan kerana dari segi statistik serta corak permainan, kedua-dua pasukan ini mempunyai kualiti yang tersendiri dan berkemungkinan besar perlawanan ini akan ditentukan melalui sepakan penalti.

 

Leave a Reply