KRU Port Klang FC dijadualkan bertemu Axis O2 PJ FC pada perlawanan kedua suku akhir SCL2018. Meskipun berstatus juara bertahan, agak sukar buat Axis untuk mengekalkan kejuaraan buat kali ini apabila mereka terpaksa menentang KRU.

KRU layak ke suku akhir selepas menjadi naib juara kumpulan B dengan 18 mata manakala Axis berada di tempat ke-3 kumpulan A dengan 13 mata.

KRU memperoleh 5 kemenangan dan 3 seri serta tidak mencatatkan sebarang kekalahan. Manakala Axis mencatat 4 kemenangan, 1 seri dan 2 kekalahan.

Dari statistik ini juga kita dapat lihat bahawa pasukan KRU dilihat lebih berkualiti kerana mereka mempunyai lebih banyak kemenangan dan mereka juga masih lagi belum tewas.

Manakala pasukan Axis pula dilihat tahun ini masih lagi gagal untuk mempamerkan aksi juara bertahan mereka seperti tahun lalu namun masih lagi mampu untuk layak ke peringkat suku akhir.

KRU mempunyai beberapa pemain yang berpengalaman seperti Rosedy Muslim, Latif Taib, Khairi Khandani serta Sulaiman Ramlan. Selain itu mereka juga mempunyai pemain muda yang berkualiti seperti Huzaini Ikhram serta Aniq Kamal.

Axis O2 juga tidak kurangnya daripada segi pengalaman kerana perlu diingatkan mereka pernah bermain di saingan Piala FA musim lalu. Namun beberapa pemain utama mereka seperti Lukhman Noor bermain bersama pasukan lain pada musim ini.

Sebanyak 19 gol telah dihasilkan oleh KRU dan 7 daripadanya dijaringkan oleh Rosedy Muslim. Namun bukan beliau sahaja yang mampu menjaringkan gol. Kedua-dua pemain sayap kiri dan kanan KRU iaitu Suhaili Rahman dan Huzaini Ikhram mampu menjaringkan gol. KRU juga hanya melepaskan 2 gol sahaja.

Bagi Axis O2 pula, sebanyak 13 gol telah dihasilkan dan penjaring terbanyak mereka adalah Desmond Amadi dengan 7 gol. Ianya merupakan separuh daripada keseluruhan gol Axis. Boleh dikatakan beliau adalah watak penting bagi Axis pada musim ini dan kerap menjadi penyelamat pasukannya apabila rakan-rakan gagal bermain di tahap sebenar.

Apa yang boleh dikatakan pada pertembungan kali ini, KRU mempunyai kelebihan di setiap bahagian dan sering kali mempamerkan aksi konsisten dan berkemungkinan besar mampu untuk memenangi perlawanan ini. Namun mungkin semangat juara bertahan yang di bawa oleh Axis mampu untuk menyelamatkan mereka.

Leave a Reply