Klang Southern FC 0-1 ABMK

Jaringan minit akhir menerusi sepakan penalti yang dihasilkan Muhammad Zul Hilmi Zaki menghadiahkan kemenangan 1-0 buat Akademi Bolasepak Merah Kuning (ABMK).

Aksi kurang bermaya ditampilkan kedua-dua pasukan ketika Klang Southern FC memerlukan kemenangan besar pada perlawanan ini untuk melayakkan diri ke suku akhir.

Ia dibuktikan apabila hanya satu percubaan tepat dicipta pada aksi 35 minit pertama menerusi rembatan Saiful Azlizan yang ditangkap kemas penjaga gol Klang Southern FC, Alif Daniel.

Walaupun sudah mengesahkan tiket ke saingan kalah mati, ABMK masih berupaya mempersembahkan corak permainan kemas dengan variasi hantaran berkualiti dijelmakan.

Ketika perlawanan dilihat bakal berakhir tanpa jaringan, Zul Hilmi Zaki menceriakan kem ABMK selepas beliau berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-70 menerusi satu sepakan percuma yang cantik terus menerjah gawang Klang Southern FC.

Kekalahan minit akhir itu menutup terus peluang buat Klang Southern untuk mengulangi pencapaian musim lalu bagi beraksi di peringkat suku akhir.

Sementara itu, ABMK pula gah untuk menamatkan saingan di puncak kumpulan A Selangor Champions League 2018 dengan mencatatkan 17 mata serta mengekalkan rekod tanpa kalah.

Puchong Fuerza FC 1-1 MPKj The Lions

Puchong Fuerza dan MPKj The Lions menamatkan aksi kumpulan A Selangor Champions League 2018 dengan keputusan terikat 1-1 pada perlawanan ketujuh minggu ke-9 SCL2018.

Tidak banyak yang dapat diperkatakan mengenai perlawanan yang berlangsung di babak pertama apabila kedua-dua pasukan kurang memberikan ancaman ke kubu lawan masing-masing.

Hanya percubaan dari Aiman Ruslan (MPKj The Lions) di minit ke-15 yang berjaya dinafikan Gabriel Sunday dan ledakan lemah Afiq Azmi sedikit menghiburkan penonton yang hadir ketika MPKj The Lions sedikit mendominasi aksi di separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, tempo permainan sedikit meningkat dengan gerakan pantas yang dilancarkan Puchong Fuerza dan MPKj The Lions.

Jika perlawanan-perlawanan sebelum ini jentera pertahanan Puchong Fuerza dilihat cukup kebal mengekang asakan lawan,  perlawanan petang tadi memberikan skrip yang berbeza apabila MPKj kerapkali menghadirkan tekanan yang hebat.

Ketika perlawanan separuh masa kedua baru berusia dua minit, Aiman Ruslan yang lebih pantas menyambar bola hasil hantaran jauh dari rakan sepasukan untuk mengatasi Gabriel Sunday, dengan tenang menolak masuk bola untuk membuka tirai jaringan.

Kegembiraan MPKj The Lions hanya bertahan dua minit setelah Hakim Zainal memadamkan kelebihan tersebut hasil tandukan yang dilakukan berikutan hantaran lintang Haikal Mat Radzi.

Aksi kemudiannya bertambah rancak dengan serangan bertalu-talu yang dilancarkan kedua-dua pasukan, namun ia belum cukup untuk menjelmakan jaringan untuk perlawanan tamat dengan terikat 1-1.

Puchong Fuerza menamatkan saingan kumpulan A di tempat kedua manakala MPKj The Lions menghuni tangga keempat untuk turut sama melayakkan diri ke suku akhir.

Klang Valley United 2-1 Gombak Hypernova

Klang Valley United berjaya meraih kemenangan kedua selepas menundukkan Gombak Hypernova FT 2-1 sekaligus menutup peluang buat Gombak Hypernova untuk meraih 3 mata pertama mereka.

Kedua-dua pasukan saling melakukan serangan dalam usaha memburu jaringan pendahuluan, namun gagal menjelmakan hasil yang diharapkan.

KVU terlepas peluang terbaik apabila percubaan dalam kawasan gol yang diledakkan Wan Khairil Azwa Jusoh sedikit tersasar ke kanan pintu gol Hypernova.

Ketangkasan Mitchell Gilbert pula menghampakan Gombak Hypernova selepas penyerang utama, Nik Mohd Syukri Nik Wil yang meluru pantas melepasi kawalan pertahanan melepaskan rembatan yang dihalang penjaga gol KVU itu pada minit ke-34.

Memasuki babak kedua, corak permainan lebih efisien dan menghiburkan penonton yang hadir setelah tiga jaringan berjaya dihasilkan.

Berpunca daripada tolakan Aus Danish dalam kawasan penalti, kemudian terus disudahkan dengan kemas oleh Hamizan Hamzah pada minit ke-37.

Gombak Hypernova FT yang gagal mencatatkan sebarang kemenangan dalam kempen musim ini kembali menyamakan kedudukan menerusi Nik Syukri.

Gol tersebut hadir hasil gerakan solo ke dalam kawasan penalti yang dimulakan Hairul Azmi Mukhsin bagi mencari Nik Syukri yang melepaskan sepakan rendah yang terbias mengenai pertahanan KVU lalu menerjah gawang pada minit ke-49.

Namun, kegembiraan tersebut hanya bertahan empat minit sahaja selepas Hasbullah Mohamed melepaskan satu sepakan ‘half volley’ yang padu untuk kembali meletakkan Klang Valley United di hadapan.

Kedudukan 2-1 kekal hingga tamat permainan untuk kemenangan kedua KVU bagi menamatkan saingan di tempat keenam kumpulan B selepas mencatatkan tujuh mata manakala Gombak Hypernova FT pula di tangga terakhir dengan hanya mencatatkan satu mata.

Kajang AZS FC 3-2 Cheras Raptors

Hatrik yang dicipta Phillip Abbah Eugine membantu Kajang AZS menewaskan Cheras Raptors 3-2 sekaligus membawa Kajang AZS ke suku akhir.

Perlawanan terakhir di peringkat kumpulan ini merupakan pertembungan hidup mati buat kedua-dua pasukan yang mengintai peluang ke saingan suku akhir.

Kajang AZS lebih menguasai aksi di separuh masa pertama dengan tumpuan semestinya diberikan terhadap Phillip Abbah Eugine dan Addurazzag Alkanouni bagi menembusi gawang Cheras Raptors yang dikawal Afiff Aizad Azman.

Phillip Abbah membuka tirai jaringan pada minit ke-21 selepas penyerang tinggi lampai itu menyempurnakan sepakan penalti yang dihadiahkan selepas bola didakwa terkena tangan pertahanan Cheras Raptors.

Phillip hampir menambah jaringan kedua selepas ledakan hasil larian solonya ke dalam kawasan penalti berjaya ditepis dengan baik oleh Afiff Aizad berselang enam minit kemudian.

Cheras Raptors juga terlepas peluang terbaik apabila Khairul Anuar Hashim yang hanya berhadapan dengan penjaga gol Kajang AZS, Faiz Ismail melepaskan rembatan lemah yang seterusnya ditangkap kemas Faiz.

Usaha Cheras Raptors bagi kembali menyamakan kedudukan akhirnya menemui hasil apabila Amares Singh menjadikan kedudukan 1-1, juga menerusi sepakan penalti pada masa kecederaan babak pertama.

Perlawanan bersambung menyaksikan Kajang AZS terus memberikan asakan ke kubu Cheras Raptors dan Phillip Abbah sekali lagi hampir menggandakan kedudukan.

Terlepas peluang keemasan tidak melemahkan Phillip Abbah yang menebus kesilapan tersebut pada minit ke-50.

Beliau yang menerima hantaran lintang dari sebelah kiri pintu gol Cheras Raptors yang dilakukan Khairul Nizam Baharudin, dengan tenang menolak masuk bola bagi menewaskan Afiff Aizad buat kali kedua.

Tersentak dengan jaringan itu, Cheras Raptors memperkemaskan corak permainan dan menjadikan kedudukan 2-2 menerusi sepakan penjuru.

Berpunca dari sepakan penjuru yang diambil Irfan Ghani, Azim Hakimi Johar menyempurnakan peluang untuk kembali mengikat kedudukan, lima minit selepas jaringan yang dihasilkan Phillip.

Phillip Abbah membuktikan mengapa beliau layak diberikan perhatian pada perlawanan ini selepas berjaya melengkapkan hatrik pada minit ke-58 yang sekaligus menghadiahkan kemenangan 3-2 buat Kajang AZS.

Kemenangan ini mengesahkan kemaraan buat wakil dari Kajang tersebut bagi mengiringi NPNG FC Damansara Damai, KRU Port Klang dan Axis-O2 Port Klang FC dari kumpulan B untuk ke saingan kalah mati.

Leave a Reply