Banting Naga 1-2 Gombak FC

Gombak FC menamatkan saingan musim ini dengan kemenangan selepas berjaya menundukkan Banting Naga FC 2-1 meskipun perlawanan ini tidak memberikan sebarang makna buat kedua-dua pasukan, aksi yang dipamerkan masih wajar diberikan pujian terutamanya buat Gombak FC.

Skuad yang dibarisi sebahagian besar pemain muda itu membuka tirai jaringan pada minit ke-17 selepas hantaran dilakukan Muhammad Iqbal Khairul Anuar terus ditanduk masuk Shaza Badri Azhar.

Banting Naga FC sesekali cuba mencipta ruang untuk mengancam kubu Gombak FC, namun penyudah tumpul nyata menggagalkan usaha yang dicipta.

Abdulkadir Ali Kassim menggandakan kedudukan berselang tiga minit selepas perlawanan bersambung apabila rembatan dari jarak jauh yang dilepaskannya terus menerjah gawang bagi membolosi kawalan penjaga gol Banting Naga FC, Okebaram Promise.

Suresh A/L Thiruchelvam memberikan sedikit harapan buat Banting Naga FC di minit ke-57 selepas berjaya menyudahkan lorongan yang dilakukan Saratkumar A/L Seegar untuk mengurangkan defisit gol.

Serangan yang dilancarkan kedua-dua pasukan selepas itu gagal menjelmakan jaringan tambahan untuk menghadiahkan tiga mata penuh buat Gombak FC.

Dengan kemenangan yang diraih, Gombak FC menamatkan saingan Selangor Champions League 2018 dengan mengumpul 10 mata hasil tiga kemenangan, satu keputusan seri dan tiga kekalahan.

Banting Naga FC pula sekadar mengumpul empat mata selepas mencatatkan satu kemenangan, satu seri dan lima kekalahan.

Subang City FC 0-4 KRU Port Klang FC

KRU Port Klang mencatatkan kemenangan kelima dalam saingan SCL2018 selepas menundukkan Subang City FC 4-0.

Sudah melayakkan diri ke saingan suku akhir langsung tidak dihiraukan para pemain KRU Port Klang FC untuk mempamerkan corak permainan bersemangat pada perlawanan ini.

Berpunca daripada hantaran jauh di kawasan sendiri yang terus mencari Muhammad Huzaini Muhammad Ikhram, disudahkan dengan baik pemain berusia 24 tahun itu untuk membuka tirai jaringan buat KRU Port Klang FC seawal minit ke-5.

Hanya berselang seminit kemudian, Nor Nahrul Hayat Nordin menjadikan kedudukan 2-0 apabila beliau dengan tenang menolak masuk bola hasil hantaran lintang oleh Muhammad Huzaini.

Memasuki babak kedua, KRU Port Klang menambah dua lagi jaringan dalam tempoh lima minit.

Gol ketiga menjelma pada minit ke-65 menerusi jaringan cantik dari Wan Haziq Emir dari sebelah kanan pintu gol Subang City yang membuatkan Asyraf terpaku.

Ketika perlawanan menghampiri penghujung, Batharul Zaman Ibrahim melengkapkan kemenangan 4-0 buat KRU Port Klang FC yang sekaligus meletakkan mereka di tangga kedua dengan mengumpul 18 mata.

CABJ 0-4 Duta ZXiV

Duta ZXIV menutup aksi kumpulan B dengan kemenangan selepas menundukkan Club Atletico De Bukit Jelutong (CABJ).

Tidak menunggu lama untuk membuka jaringan selepas pemain tengah kreatif Duta ZXIV, Mohd Syazmin Firdaus Mohd Aminuddin meledakkan rembatan padu hasil sepakan percuma yang terus membolosi gawang CABJ pada minit ke-3.

Syazmin yang bukan sahaja mempunyai kualiti permainan yang mengagumkan sekali lagi meledakkan jaringan, juga menerusi sepakan percuma dari jarak yang lebih jauh pada minit ke-26 untuk menjadikan kedudukan 2-0 hingga tamat babak pertama.

Ketika separuh masa kedua baru berusia tiga minit, giliran Khairul Anuar Abdul Rahim pula meletakkan nama selaku penjaring selepas beliau menyudahkan peluang hasil lorongan daripada Ahmad Azhan Ahmad Sofian.

Mohd Khairul Effendy Mohd Bahrin yang beraksi pertama kali buat Duta ZXIV menambah jaringan keempat pada minit ke-49 selepas pemain skuad futsal kebangsaan itu berjaya merampas bola yang dikawal pertahanan CABJ lalu melepaskan sepakan tonjol bagi menggandakan kedudukan.

Kedudukan 4-0 kekal hingga tamat permainan untuk Duta ZXIV menamatkan saingan kumpulan B di tempat ketiga dengan mengumpul 13 mata. CABJ kini di tangga keenam dengan lima mata.

 

Leave a Reply