KENYATAAN RASMI: SCL SEDIA TERIMA SEMULA SHAH ALAM ANTLERS FC JIKA ISU SEBENAR DIPERJELASKAN

KENYATAAN RASMI FOOTBALL SELANGOR

 

Pada tanggal 16hb September 2018, pasukan Shah Alam Antlers dan Banting Naga memulakan kempen SCL2018 pada jam 4.00 petang di Stadium Majlis Perbandaran Subang Jaya.

 

  1. Menurunkan pemain yang tidak sah

Shah Alam Antlers telah menurunkan pemain yang tidak sah untuk bermain iaitu penjaga gol mereka yang berjersi no 29, Redzuan Shah. Perkara ini bercanggah dengan peraturan 3.5 Undang-undang Selangor Champions League di mana telah termaktub bahawa “pendaftaran pemain terbuka kepada semua warganegara Malaysia yang tidak mempunyai kontrak aktif atau pernah berdaftar dengan mana-mana pasukan Liga Super, Liga Perdana, Liga FAM, Piala Presiden dan Piala Belia pada tahun 2018 (dari 1 Januari 2018 – 31 Disember 2018”).

Walaupun kontrak beliau telah ditamatkan pada pertengahan musim tahun ini, beliau masih dikira tidak layak untuk bermain di SCL2018 kerana PERNAH berdaftar dengan Liga FAM pada tahun 2018.

  1. Tanggungjawab mengenai pengesahan status pemain

Sejak edisi pertama Selangor Champions League pada tahun 2016, status pemain adalah tanggungjawab pihak pengurusan pasukan sepenuhnya. Perkara ini telah dimaklumkan kepada semua pihak pengurusan pasukan semasa mesyuarat dan taklimat pertandingan sejak SCL tahun 2016.

Kesemua pengurusan pasukan SCL maklum berkenaan hal ini dan tiada sebarang pertikaian atau cadangan yang pernah dikemukakan oleh pengurusan pasukan kepada penganjur berkenaan pihak yang patut bertanggungjawab sekiranya berlaku kesalahan pemain tidah sah. Seperti yang dijalankan selama ini, mana-mana pasukan yang meragui status pemain mereka boleh memberi nama-nama tersebut ke pihak penganjur untuk tolong bertanya dengan pihak FAM dan FMLLP.  

Untuk pengetahuan umum, pihak Football Selangor tidak mempunyai akses terus kepada database FAM mahupun FMLLP kerana tidak mempunyai sebarang hubungan rasmi dengan mereka. Namun pihak Football Selangor boleh membuat pertanyaan rasmi melalui sumber dari FAM dan FMLLP yang boleh membantu mengesahkan hanya status pemain-pemain yang disyaki tidak sah kerana ia dilakukan secara tidak rasmi. Seperti pengetahuan semua, database FAM ini adalah sangat sulit dan sensitif kerana melibatkan butiran peribadi para pemain bolasepak.

Perkara ini seringkali ditegaskan setiap kali Football Selangor mengadakan mesyuarat atau perjumpaan bersama-sama pasukan yang terlibat bagi Selangor Champions League sejak edisi pertama kejohanan ini pada tahun 2016.

 

  1. Penggunaan Kad ID pemain

Untuk SCL2018, Football Selangor memperkenalkan kad ID pemain sebagai gantian kepada kad pengenalan dan paspot yang digunakan pada tahun lalu untuk tujuan mengesyorkan pemain yang berdaftar adalah sama dengan pemain yang bermain di atas padang. Pengenalan kad ID dibuat kerana Football Selangor menerima pelbagai aduan berkenaan isu keselamatan memegang kad pengenalan dan paspot pemain semasa perlawanan berlangsung.  

Di belakang kad ID pemain juga turut menyatakan bahawa kad ID pemain boleh ditarik balik oleh Football Selangor pada bila-bila masa jika berlaku sebarang kesalahan termasuklah pendaftaran yang tidak sah. Perkara ini konsisten dengan taklimat dan mesyuarat OTP yang memperingatkan semua pasukan untuk memastikan tiada pemain yang tidak sah bermain walaupun kad ID pemain telah dikeluarkan.

  1. Penerangan mengenai hukuman bagi Shah Alam Antlers dan Banting Naga FC

Dalam undang-undang 11.4, apabila pengurusan pasukan menyenaraikan pemain yang tidak sah bermain oleh sebab-sebab tertentu, maka pihak lawan diberikan kemenangan 3-0. Uniknya kes ini adalah kedua-dua pasukan meletakkan pemain yang tidak sah bermain iaitu Redzuan Harun yang masih lagi berdaftar di bawah FAM serta K. Muruga yang pernah bermain untuk aksi playoffs SCL2018.

Disebabkan insiden ini adalah insiden yang pertama kali berlaku maka pihak Football Selangor telah meminta nasihat dan penjelasan dari wakil FAM. FAM menjelaskan bahawa perlawanan di antara Antlers menentang Naga dianggap perlawananan yang sah kerana ia telah berlangsung tetapi keputusan perlawanan dianggap tidak sah kerana kesalahan telah dilakukan. Keputusan perlawanan yang tidak sah bermaksud tiada pasukan yang dianggap menang atau kalah walaupun sesebuah pasukan telah menang kerana kesalahan itu telah dilakukan sejurus selepas wisel permulaan dan ‘by default’ undang-undang 11.4 diaktifkan di mana “apabila pengurusan pasukan menyenaraikan pemain yang tidak sah bermain oleh sebab-sebab tertentu, maka pihak lawan diberikan kemenangan 3-0”. Ini mengakibatkan kedua-dua pasukan Antlers dan Naga dihukum kalah 3-0 dan mendapat 0 mata.

Perkara ini konsisten dengan perlawanan Gombak FC vs Puchong Fuerza di mana Puchong Fuerza telah menyenaraikan pemain yang tidak sah menyebabkan Gombak FC diberi kemenangan 3-0 walaupun mereka hanya mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Puchong Fuerza.

 

  1. Keputusan Football Selangor menjalankan siasatan terhadap pemain Shah Alam Antlers dan Banting Naga walaupun tanpa protes dari sebarang pasukan

Football Selangor mengambil keputusan untuk menjalankan siasatan terhadap pemain-pemain yang disyaki tidak sah kerana tidak ingin kesalahan ini dilanjutkan ke peringkat yang lebih lambat dan serius. Sebagai contoh, jika penjaga gol Antlers, Redzuan Shah hanya dikenalpasti pada minggu ke-6 kejohanan SCL2018, pasukan Antlers akan mengalami walk-over sebanyak 6 perlawanan dan akan melenyapkan harapan ke peringkat kalah mati. Disebabkan itu, Football Selangor mengambil keputusan untuk bertindak menyiasat pemain-pemain yang disyaki awal sebelum kesalahan itu menjadi lebih serius.

  1. Proses dan prosedur siasatan Football Selangor terhadap perlawanan Shah Alam Antlers FC dan Banting Naga FC

Pihak Football Selangor telah menghantar  emel kepada pasukan-pasukan yang terlibat untuk menerangkan kesalahan yang telah dibuat dan memberi pasukan masa 24 jam untuk mempertahankan kedudukan mereka dengan hujah dan bukti yang kukuh. Pasukan-pasukan yang terlibat telah gagal memberi hujah dan bukti yang kukuh sepanjang tempoh itu tetapi telah meminta untuk berjumpa bagi menjelaskan kedudukan mereka. Football Selangor memaklumkan melalui emel bahawa tanpa bukti yang kukuh, keputusan yang telah dibuat tidak akan ditarik balik maka tidak perlulah berjumpa kerana kesalahan ini nyata dan Football Selangor mempunyai pelbagai persiapan lain yang perlu dilakukan untuk memastikan penganjuran liga setiap minggu berjalan dengan lancar. Untuk menyakinkan pengurusan Antlers bahawa kesalahan ini jelas, Football Selangor juga telah menghantar sebahagian daripada kontrak pemain yang terlibat sebagai bukti bahawa beliau pernah didaftarkan dengan Liga FAM pada tahun 2018. Football Selangor bercadang membuat pengumuman keputusan hanya selepas perlawanan Antlers menentang Puchong Fuerza namun telah diminta oleh pengurusan Antlers untuk tidak melengahkan lagi dan membuat keputusan pada hari perlawanan mereka (22hb September 2018)

Untuk pengetahuan umum, tidak termaktub di mana-mana tempoh pengumuman yang perlu dibuat oleh Football Selangor ke atas sebarang kesalahan yang dilakukan dan keperluan untuk berjumpa jika bukti telah jelas dan nyata. Namun Football Selangor mengakui perkara-perkara ini perlu diperbaiki dan proses dan prosedur yang lebih sistematik harus diambil untuk meningkatkan mutu penganjuran SCL. Football Selangor akan memastikan perkara ini dikaji dan diperbaiki untuk edisi masa hadapan.

 

  1. Penarikan diri Shah Alam Antlers dari Selangor Champions League 2018

Shah Alam Antlers telah membuat sebuah kenyataan rasmi bertarikh 23hb September berkaitan penarikan diri mereka dari SCL2018. Walaupun Football Selangor tidak mengharapkan perkara ini berlaku, namun Football Selangor menghormati keputusan yang diambil oleh pasukan Shah Alam Antlers.

Football Selangor sedang meneliti hukuman yang akan disabitkan terhadap pasukan Shah Alam Antlers dan berpendapat bahawa larangan untuk menyertai Selangor Champions League haruslah kekal sehingga mereka menarik balik kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada 22hb September 2018 yang terang-terang tidak tepat dan memberi gambaran salah terhadap perkara yang sebenar. Di samping itu, pasukan Shah Alam Antlers juga perlu membuat kenyataan rasmi dan meminta maaf ke atas kesalahan mengeluarkan kenyataan rasmi pada 22hb September 2018.

Kedudukan pemain-pemain Antlers juga sedang diteliti tetapi berkemungkinan besar tidak akan dikenakan apa-apa hukuman kerana berdasarkan pemerhatian umum, mereka rata-rata ingin meneruskan penglibatan mereka di dalam SCL2018.

Untuk kebaikan semua terutamanya para pemain Antlers, Football Selangor sudi untuk mengenepikan segala yang telah berlaku dan boleh menerima masuk semula penyertaan Antlers ke dalam SCL2018 jika permohonan itu dibuat sebelum 27hb September 2018 jam 11.59 malam. Untuk pengetahuan umum, Tindakan Football Selangor ini tidak bercanggah dengan mana-mana undang-undang SCL2018 dan prinsip-prinsip kami tetapi adalah berdasarkan keinginan untuk memperbaiki keadaan semasa.

 

*Kenyataan ini terdapat pembetulan tatabahasa dan perbendaharaan kata untuk menyampaikan mesej yang lebih tepat dan efektif. 

Leave a Reply