Apa itu bola sepak komuniti?

Jikalau kita bincang atau bahaskan mengenai senario bola sepak komuniti di Malaysia, mungkin tidak banyak input atau info yang kita boleh ketengahkan. Namun di Eropah, boleh dikatakan semua kelab bola sepak professional bermula daripada komuniti itu sendiri.

 

Bola sepak amatur di Malaysia mungkinlah perkara yang sudah lama wujud, namun jarang sekali kita dengar mengenai bola sepak komuniti di Malaysia. Namun apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan bola sepak komuniti ini? Mari kita huraikan.

 

Bahasa mudahnya, bola sepak komuniti ini merupakan sukan bola sepak yang melibatkan penduduk sekitarnya untuk menjadi tulang belakang pasukan tersebut. Komuniti di satu tempat itu yang menjadi ahli berdaftar, menjadi pengurus, bahkan “kitman”. Keseluruhan operasi pasukan diterajui oleh penduduk setempat.

Di Malaysia, senario bola sepak komuniti kurang ditekankan kerana banyak pasukan diterajui oleh persatuan negeri seperti Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) dan juga syarikat-syarikat besar seperti Felda United FC. Mungkin di Malaysia ianya masih lagi baru namun di Eropah, sistem kelab komuniti ini telah lama diwujudkan.

 

Kita ambil contoh pasukan di England yang kebanyakkannya bermula daripada pasukan komuniti, kini sudah pun menjadi pasukan yang professional dan ada juga yang sudah menjadi pasukan gergasi di Eropah.

Pasukan Manchester United 2017/2018. Photo by Mirror Online

Manchester United, Arsenal dan Liverpool antaranya kelab yang bermula sebagai pasukan komuniti yang sebelum ini ditubuhkan oleh komuniti sekitar kawasan tersebut. Namun sekian lama, pasukan itu mula diambil alih oleh individu tetapi masih lagi mengekalkan lagi aktiviti-aktiviti komuniti.

Ini kerana komuniti di sekitar kawasan tersebutlah yang banyak membantu pasukan menjadi lebih baik. Daripada jualan cenderahati kelab, jualan tiket, jualan jersi dan banyak lagi. Ini masalah utama pasukan-pasukan di Malaysia. Tidak mampu menjana kewangan yang kukuh daripada komuniti kerana kurangnya penglibatan mereka.

Photo by Astro Awani

Jika di Asia pula kita boleh lihat skema sistem yang diterapkan oleh Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA). Di dalam laporan yang dibuat oleh JFA, antara faktor yang banyak membantu pasukan Jepun adalah pasukan bola sepak komuniti.

 

JFA mewajibkan setiap pasukan di J-League serta pasukan komuniti untuk mempunyai pasukan di setiap peringkat umur bagi membanyakkan pengalaman bermain di kepada pemain-pemain di sana.

 

Dengan cara itu, Jepun melahirkan lebih banyak pemain-pemain yang berkualti kerana pemain-pemain mereka mempunyai pengalaman dan juga kualiti yang lebih bagus.

Football Soccer – Japan v Syria – World Cup 2018 Qualifier – Saitama Stadium, Saitama, Japan – 29/3/16 Japan’s Shinj Kagawa celebrates with teammates Shinji Okazaki and Keisuke Honda after scoring the second goal for Japan against Syria. REUTERS/Thomas Peter – GF10000364006

Meskipun Jepun sudah pun digelar sebagai gergasi Asia, namun mereka masih lagi menerapkan bola sepak komuniti di dalam modul mereka kerana mereka tahu ianya memberi efek yang positif dan tidak seharusnya ditinggalkan.

 

Jadi sudah terbukti sebenarnya kelab komuniti ini merupakan satu watak yang penting dalam pemangkin sukan bola sepak negara dan tidak boleh dipandang remeh. Banyak pasukan yang kita lihat terkubur akibat kurangnya penglibatan daripada komuniti setempat.

 

Manakala pasukan lain lebih bergantung kepada persatuan serta syarikat-syarikat yang besar. Lebih baik kiranya kita fokuskan kepada projek komuniti ini. Kembalikan bola sepak kepada pemiliknya.

Leave a Reply