Haedar Tangkas Beri Inspirasi Kepada Kajang Ultimate

Jika ada satu perkataan bahasa Inggeris yang dapat menggambarkan prestasi semasa Kajang Ultimate FC di kumpulan A Selangor Champions League 2017 ketika ini, ia adalah ‘unstoppable’.

 

Meskipun beraksi tanpa 8 pemain kesebelasan utama, Kajang Ultimate tidak mempunyai banyak masalah untuk selesa menewaskan Ampang ATY Serayan FC 2-0 di Stadium Panasonic Shah Alam malam semalam.

 

Dalam perlawanan semalam, Kajang Ultimate turun dengan formasi 4-5-1 (berbeza dengan formasi 3-5-2 yang digunakan mereka ketika menewaskan Puchong Fuerza 3-1).

Dalam temuramah selepas perlawanan, pengurus Kajang Ultimate, Mohamad Fitri menjelaskan pertukaran formasi yang lebih defensif ini adalah petanda mereka bersedia dengan kemungkinan bakal diserang Ampang ATY Serayan.

 

Bagaimanpun perkara sebaliknya pula berlaku. Pada 10 minit pertama perlawanan, Ampang ATY Serayan jelas lebih minat berkampung di kawasan padang sendiri berbanding membuat pressing kepada jentera tengah Kajang Ultimate.

 

Ini membuatkan Kajang Ultimate lebih banyak menguasai bola. Ampang ATY Serayang pula jelas mempertahankan taktikal serangan balas mereka apabila kerap membuat hantaran diagonal ke penyerang sayap mereka, Amirul Fareez dan Muhd Ihsan setiap kali berjaya merampas bola.

 

Jika taktikal serangan balas Ampang ATY Serayan ini berjaya ketika mereka menewaskan Banting Naga FC 3-0, ia bagaimanapun tidak menjadi ketika menentang Kajang Ultimate semalam.

Amirul Fareez dan Muhd Ihsan masing-masing tiada idea untuk melepasi kawalan bek sisi Kajang Ultimate, Saiful Safaiz dan Fadli Abdul Halim.

 

Bagi jentera serangan Kajang Ultimate pula, lain ceritanya. Berbeza dengan tugas di sayap kiri pada minggu lepas, Haedar ditugaskan bermain di sayap kanan pula semalam. Di sayap kiri pula adalah Akmal Zaki.

 

Pantas, mempunyai kemahiran teknikal yang baik dan berbahaya. Inilah kualiti Haedar dan Akmal. Haedar, terutamanya, bukan sahaja memberi mimpi ngeri kepada kedua-dua bek sisi Ampang ATY Serayan melalui larian direct beliau, malah rajin turun membantu bek kanannya.

 

Ini sekaligus membuatkan pemain Ampang ATY Serayan paling berbahaya, Amirul Fareez yang bermain di sayap kiri terus tenggelam tanpa impak semalam.

Pada hujung-hujung separuh masa pertama selepas beberapa kali mencuba, Kajang Ultimate akhirnya mendapat gol pembukaan hasil kerja baik Haedar. Haedar menewaskan bek kanan Ampang ATY Serayan sebelum menyungkit masuk bola melepasi penjaga gol mereka untuk Kajang Ultimate mendahului 1-0.

 

Pada separuh masa kedua, Ampang ATY Serayan cuba bangkit menyerang dengan bertahan di garisan defensif tinggi dan mula melakukan pressing intensif.

 

Bagaimanapun keunggulan kualiti teknikal pemain-pemain Kajang Ultimate bererti mereka dapat mengekalkan penguasaan bola dengan baik di sebalik <em>pressing</em> Ampang ATY Serayan.

 

Ditambah pula dengan kualiti teknikal penyerang tengah Ampang ATY Serayan yang menyedihkan, ia adalah malam buruk buat jentera serangan pasukan Ampang ini. Mereka bergelut untuk menggerakkan bola ke bahagian final third mereka.

Pada minit ke-60′ ketika Ampang ATY Seraya sedang sibuk menyerang, kealpaan benteng pertahanan mereka membawa padah apabila ia menghasilkan situasi kelam-kabut dalam kotak penalti mereka sendiri.

 

Haedar pantas memanfaatkan situasi tersebut untuk membuat hantaran kepada penyerang gantian, Mohd Adzlan yang mudah menampan masuk bola ke gawang untuk gol ke-2 Kajang Ultimate FC.

 

Gol ke-2 ini melengkapkan malam yang buruk buat Ampang ATY Serayan yang kini sudah mengutip 2 kekalahan daripada 3 perlawanan.

Leave a Reply